PAS Pahang bantu mangsa kebakaran di Damak

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Tuan Ibrahim menyampaikan sumbangan PAS kepada wakil mangsa, disaksikan Rosli dan Yohanis.

JERANTUT: Timbalan  Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu agensi kerajaan mempermudahkan segala urusan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kebakaran besar di pekan Damak awal pagi kelmarin.
 
Beliau yang menziarahi mangsa di lokasi 21 buah kedai terbakar petang tadi, berkata semua dokumen penting seperti surat beranak, kad pengenalan, lesen memandu, geran tanah, buku bank dan lain-lain musnah sekelip mata dalam kebakaran tersebut.
 
“Justeru kita menyeru semua agensi terbabit agar dapat memudahkan segala urusan mangsa termasuk menyegerakan bantuan kewangan kepada mereka kerana di premis yang terbakar inilah tempat mereka bergantung sumber rezeki.
 
“Saya bagi pihak PAS mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan sekali gus bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya yang pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Damak.

Beliau, juga mencadangkan Jabatan Kebajikan memberi bantuan kepada mangsa kebakaran seperti mangsa banjir yang kehilangan rumah, dibina bangunan baru sebagai ganti.
 
Beliau berkata demikian dalam majlis mewakili PAS menyampaikan bantuan awal kepada mangsa kebakaran paling besar yang pernah berlaku di daerah Jerantut.
 
Dalam kebakaran jam tiga pagi Jumaat lalu, 21 rumah terbakar dan 19 daripadanya rentung. Deretan kedai papan yang berusia hampir 60 tahun itu merupakan pusat perniagaan awal di pekan Damak dan diwariskan secara turun temurun dengan lebih 90 peratus berbangsa Cina.
 
Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semua 28 orang daripada 62 penghuni premis di situ berjaya menyelamatkan diri semasa api mulai marak, manakala yang lain berada di luar kawasan.

Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian atas kedai, yang terletak di bahagian tengah deretan bangunan yang disewakan sebagai asrama pekerja asing, sebelum merebak.

Antara premis yang terbabit dalam kebakaran itu ialah restoran, bengkel motosikal, kedai runcit, pasar raya mini dan kedai telefon bimbit dan gerai buah-buahan.
 
“Fikirkan supaya ada pasukan bomba kerana yang terdekat hanya ada di Jerantut yang memakan jarak 30 kilometer dan Benta yang juga jarak lebih kurang itu. Cadangan saya supaya diperkasakan bomba sukarela supaya cepat bertindak apabila berlaku kebakaran besar seperti ini,” kata Tuan Ibrahim.
 
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, Timbalan Pesuruhjaya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut Yohanis Ahmad serta pimpinan negeri yang lain.
 
Sementara itu Ustaz Rosli dalam ucapannya memberitahu akan membawa perkara berkenaan ke sidang Sewan Undangan Negeri Pahang bulan depan.
 
“Saya akan dapatkan maklumat daripada pemilik premis apakah sebenarnya kesukaran yang mereka hadapi selama ini dan akan membawanya ke pengetahuan kerajaan supaya mengambil berat serta meminta pihak terbabit mengganti kerugian mereka,” katanya. - HARAKAHDAILY 28/9/2015

Share on Myspace