Pentadbiran ulama di Kelantan lewati usia 25 tahun

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Tanpa sedar usia Kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan ulama melewati usia 25 tahun pada 20 Oktober ini.

Sehubungan itu Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sambutan Jubli Perak dasar Membangun Bersama Islam (MBI) akan diadakan pada tarikh tersebut.

Katanya semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama dijemput hadir pada program berkenaan yang akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

“Kita berharap rakyat yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asal yang tinggal di negeri ini menghadiri program  berkenaan.

“Pasukan pancaragam dari sekolah Cina juga akan diundang bagi memeriahkan program berkenaan,” katanya pada Perarakan Muhibah Pesta Tanglung Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengerusi Pengerusi Persatuan Orang Kota Bharu, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Oie Poh Choon.

Sebelum ini Anuar Tan bersama Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng dan masyarakat Cina berarak sambil membawa tanglung dari Kampung Cina ke dewan berkenaan.

Turut mengikuti perayaan berkenaan pelancong-pelancong asing dan masyarakat Melayu.

Mohd Amar juga berkata pesta tanglung sudah lama diadakan di Kelantan ketika sambutan ulangtahun keputeraan sultan.

Katanya program seumpama itu boleh merapatkan lagi hubungan antara kaum yang tinggal di Kelantan.

“Maka tidak hairanlah orang Cina yang tinggal di kampung-kampung lebih dikenali dengan panggilan Awang atau Mek berbanding nama asal mereka.

“Ini mencerminkan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum di Kelantan wujud sejak dari dahulu sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya juga sebagai mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina dalam bidang ekonomi, kerajaan negeri menukar nama Jalan Kebun Sultan kepada Jalan Haji Cheng Ho. – HARAKAHDAILY 28/9/2015

Share on Myspace