RUU Persendirian: Mahkamah tangguh 5 Oktober

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi memutuskan tarikh 5 Oktober ini bagi mendengar keputusan mahkamah terhadap bantahan awal yang dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Perbicaraan kes saman ke atas Tuan Guru Abdul Hadi Awang ekoran tindakan PAS membawa Rang Udang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 bagi membolehkan sebahagian Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 dapat dilaksanakan di Kelantan.

Jun lalu, empat individu iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin, memfailkan permohonan untuk mencabar rang undang-undang persendirian, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud dibentangkan di parlimen.

Mereka juga memohon injunksi bagi menghalang Dewan Rakyat membahaskan rang undang-undang tersebut.

Mahkamah telah mendengar bantahan peguam Tuan Guru Abdul Hadi, Datuk Sulaiman Abdullah yang berhujah bahawa saman yang dibuat oleh peguam mereka tidak mengikut prosedur.

"Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak peguam, mahkamah memutuskan tarikh 5 Oktober 2015 sama ada bantahan peguam Sulaiman Abdullah itu diterima atau tidak.

"Jika bantahan itu diterima nanti, maka kes saman ini akan tertolak. Jika bantahan ini tidak diterima, maka kes saman ini akan diteruskan," lapor laman Facebook rasmi PAS.

Dua lagi peguam bagi pihak Tuan Guru Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS dan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Tuan Guru Abdul Hadi pada Mac lalu mengemukakan notis bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

Rang Undang-undang itu tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini kerana kesuntukan masa dan terdapat urusan-urusan kerajaan lain perlu didahulukan.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas. – HARAKAHDAILY 28/9/2015

Share on Myspace