UPSR: Kertas BI dipecah dua gred mulai 2016

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Kertas Bahasa Inggeris (BI) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk pemahaman dan penulisan dipecahkan menjadi dua gred berasingan mulai tahun depan, kata Pengarah Lembaga Peperiksaan Datin Nawal Salleh.
    
Beliau berkata pada UPSR sebelum ini, ujian pemahaman dan penulisan subjek BI digabungkan sebagai satu gred sahaja dan hanya kertas Bahasa Melayu (BM) yang mempunyai dua gred.
    
"Langkah mengasingkan gred pemahaman dan penulisan bagi kertas BI dibuat sejajar dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar," katanya dalam sidang media mengenai format baharu peperiksaan pusat UPSR 2016 di sini hari ini.
    
Berikutan pengasingan ujian kertas BI itu, calon UPSR bagi Sekolah Kebangsaan (SK) akan mendapat enam gred mulai tahun depan berbanding hanya lima gred sekarang manakala calon Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina SJK Tamil akan memperoleh lapan gred berbanding tujuh.
    
Ketika ini, calon UPSR untuk SK diberi lima gred berdasarkan subjek BM yang dipecahkan kepada pemahaman dan penulisan BI; Matematik dan Sains manakala calon SJKC dan SJKT diberi tujuh gred berdasarkan subjek BM (pemahaman dan penulisan); BI; Matematik; Sains serta dua lagi masing-masing melibatkan kertas Bahasa Cina dan Tamil.
    
Nawal berkata bermula tahun depan juga, kertas UPSR bagi subjek BM, BI, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil untuk ujian pemahaman akan mempunyai soalan dalam bentuk subjektif berbanding hanya objektif ketika ini.
    
Beliau berkata format ujian pemahaman dalam bentuk subjektif itu antara lain bertujuan menguji pengetahuan dan kefahaman sistem bahasa pelajar; menguji kemahiran aplikasi maklumat serta menguji kemahiran kreatif dan apresiasi bahasa calon.
    
Pada masa sama, katanya, Lembaga Peperiksaan juga akan mengurangkan soalan dengan objektif aneka pilihan, sebaliknya menambah bilangan soalan berbentuk objektif pelbagai bentuk sejajar dengan usaha untuk membudayakan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
    
Katanya, mana-mana pihak yang ingin melihat dan meneliti format serta contoh instrumen UPSR mulai 2016 boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang www.lp.edu.my mulai hari ini. - BERNAMA

Share on Myspace