Saman tidak halang Kelantan martabat Islam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan terus mendepani arus semasa perjuangan Islam di negara ini biar pun berdepan dengan episod saman pihak yang benci syariat Allah didaulatkan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Nazman Che Iberahim berkata PAS pernah berdepan dengan kes saman oleh bekas anggota parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim dalam isu pelaksanaan kanun jenayah syariah.

Selain itu PAS juga pernah disaman MCA berkaitan isu judi di Kelantan.

“Saman yang terbaru ini hanyalah menambah satu siri perjalanan jauh gerakan Islam di bumi Kelantan.

“Kami menyeru kumpulan terbabit bertaubat dan menarik balik saman mereka agar tidak akan mengalami kerugian di akhirat nanti,” katanya di sini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 5 Oktober ini bagi memutus bantahan awal Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkaitan saman terhadap usul persendirian bagi meminda Akta 355.

Empat individu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaludin menyaman Presiden PAS dan empat lagi defendan kerana membawa Private Member's Bill ke Parlimen untuk meminda Akta 355 bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Shariah.

Nazman berkata, Pemuda PAS Kelantan sedih dan kecewa berhubung isu saman beberapa individu yang beragama Islam berkaitan usul persendirian tersebut. – HARAKAHDAILY 28/9/2015

Share on Myspace