RUU Persendirian: Siapa dalang di sebalik 4 individu?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Jabatan Penerangan PAS Pusat mempersoalkan dalang disebalik empat individu yang bertindak memfailkan permohonan untuk mencabar rang undang-undang persendirian, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud dibentangkan di parlimen.

Pengarahnya Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan mereka menyaman Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana kemukakan rang undang-undang tersebut sesuatu yang sangat janggal.

"Usul itu sangat munasabah. Takkanlah negara kita yang sudah lebih 58 tahun Merdeka, kita masih tidak mahu berbuat sesuatu dengan taraf Mahkamah Syariah di Malaysia yang bidang kuasanya lebih rendah dari Mahkamah Rendah Sivil yang biasa?

"Takkanlah Pendaftar Mahkamah rendah lebih berkuasa dari Ketua Hakim Tertinggi Mahkamah Syariah?

"Negara kita ini adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kenalah ada usaha untuk meningkatkan walau sedikit, baru ada gunanya kuasa politik masih ada pada umat Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Malah tegasnya, mereka yang mula mendakwa wujudnnya percanggahan perlembagaan adalah jelas datangnya daripada DAP.

"Sudahkah empat orang berkenaan mendapatkan deklarasi bahawa Private Bill (PB) itu salah? Setakat ini melalui kenyataan awam yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara dan juga Bekas Ketua Hakim Negara, tidak membayangkan apa-apa pelanggaran perlembagaan atau undang-undang.

"Mengapa tidak dapatkan dulu tafsiran, pengisytiharan mahkamah bahawa PB itu melanggar perlembagaan. Jika benar salah, barulah munasabah tindakan saman berkenaan," katanya.

Justeru katanya, rakyat sudah mula mempersoalkan siapa di sebalik empat individu berkenaan dan profil mereka mempunyai hubungkait dengan beberapa parti politik seperti Amanah dan DAP mula tersebar di alam maya.

Hari ini Mahkamah Tinggi menangguhkan permohonan empat individu iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin yang mencabar RUU persendirian oleh Abdul Hadi Awang pada 5 oktober ini. – HARAKAHDAILY 28/9/2015

Share on Myspace