Kes Kevin Morais: 6 didakwa bunuh, 2 bersubahat

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Enam lelaki hari ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.
    
Tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
    
Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
    
Di kandang tertuduh ialah G. Gunasekaran, 47, R.Dinishwaran, 23, A. Thinesh Kumar, 22, M. Vishwanath, 25, S. Nimalan, 22, dan S. Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, di sini ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, Selangor.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 pagi hingga 8 malam, 4 Sept lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
    
Sementara itu, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 302 kanun sama, yang turut membawa hukuman mati mandatori.
    
Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan tiada sebarang pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
    
Barisan pendakwaan yang dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa, Manoj Kurup dan Ahmad Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
    
Majistret Siti Radziah Kamardin kemudiannya menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan kes.
    
Peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran manakala Datuk N. Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Kunaseegaran. Tertuduh lain tidak diwakili.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pula, mekanik A. Murugan, 44, didakwa bersubahat dengan enam lelaki terbabit dan Dr Kunaseegaran melakukan kesalahan itu di No 20 Desa Mentari di sini, di antara jam 9.30 pagi hingga jam 8 malam, 4 Sept lepas.
    
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.
    
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon tempoh dua bulan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
    
Mahkamah menetapkan 26 Nov depan untuk sebutan semula kes.
    
Ketika ditemui Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa berkata Dr Kunaseegaran, yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini, dan Murugan akan dihukum mati jika sabit kesalahan walaupun hanya didakwa atas tuduhan bersubahat.

Menurutnya, undang-undang menyatakan bahawa sesiapa yang dituduh bersubahat dalam apa-apa kes turut berdepan hukuman sama dengan hukuman kesalahan utama.
    
"Cuma berbeza jika seseorang itu dituduh 'cuba' melakukan kesalahan dalam apa jua kes dan dia boleh dikenakan hukuman separuh daripada hukuman utama," katanya.
    
Sementara itu, galeri awam mahkamah dipenuhi anggota keluarga mendiang termasuk dua adik lelakinya, Charles Suresh, 53, dan Datuk Richard Dilaan, 49.
   
Beberapa timbalan pendakwa raya dan majistret lain turut hadir. Media dan orang awam menunggu prosiding bermula sejak pukul 9 pagi.
    
Richard ketika ditemui pemberita berkata: "Setiap orang menjalankan tugas dengan baik. Itu saja yang saya boleh cakap. (Sekarang) kita serahkan saja kepada mahkamah," katanya.
    
Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept lepas.
    
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. - BERNAMA

Share on Myspace