Himpunan bantah ceroboh Masjid Al-Aqsa 2 Okt

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sebagai solidariti dan maruah Islam, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengadakan himpunan sokongan ke atas perjuangan umat Palestin mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Himpunan tanggal Jumaat, 2 Oktober 2015 di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat itu nanti juga adalah pernyataan bantahan terhadap Israel atas kerakusan mereka itu.

"Kami menyeru umat Islam khususnya anak muda hadir menyatakan sokongan dan berdiri atas dasar maruah dan semangat cintakan keamanan sejagat," ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Katanya, keangkuhan Zionis Israel terus menerus menceroboh kiblat pertama umat Islam telah membakar kesabaran kaum Muslimin untuk bangkit menentang kebiadaban tersebut.

Tambahnya, tindakan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa itu jelas paluan gendang ke arah kobaran untuk mencetuskan peperangan.

"Seluruh dunia Islam percaya, umat Islam Palestin tidak akan hanya melihat sahaja pencabulan sedemikian. Sebaliknya mereka akan bangkit menentang dan mempertahankan rumah Allah itu," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, semangat Intifadhah tidak pernah padam dan Zionis Israel perlu bersedia menghadapi kekuatan yang pasti lebih menggerunkan dari yang pernah dihadapi sebelum ini. - HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace