Selesai isu Duta Besar China cara diplomasi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru semua pihak bertenang dan menyerahkan isu kenyataan Duta Besar China, Dr Huang Kuikang kepada pihak kerajaan untuk diselesaikan secara diplomasi antara dua negara.

Terbaru, Kedutaan China juga telah memberikan respons dan dilihat mempertahankan tindakan dutanya.

"Maka, kita sangat berharap agar pihak Kementerian Luar Negeri bertindak segera untuk menyelesaikan kes ini di meja rundingan dengan segera bagi mengelakkannya terus berlarutan.

"Jangan biarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan atas isu yang berlaku dengan menyemarakkan api perkauman sehingga bertindak tidak rasional dan mengundang ketidakstabilan negara," ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Katanya, DPPM bertegas supaya urusan hal ehwal negara tidak dicampuri oleh negara luar dan mengalu-alukan permohonan maaf daripada pihak Kedutaan China bagi meredakan isu ini.

Di samping itu, ujar beliau DPPM juga komited membantah mana-mana isu perkauman sempit yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia.  

Selain itu, tambahnya DPPM bimbang sekiranya kenyataan Duta China tersebut turut menggambarkan perspektif yang diterima oleh negara-negara luar terhadap Malaysia mengenai tatacara hidup kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, tahap demokrasi serta hak asasi manusia yang dipraktiskan di negara ini.

"Jika benar, ini satu lagi igauan buruk buat Perdana Menteri," katanya.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memberitahu, Dr Huang dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan ke Jalan Petaling, Jumaat lalu telah disalah tafsir.

Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya. - HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace