Jerebu, perlu ada tindakan undang-undang

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta agar tindakan saman dan arahan sekatan operasi terhadap mana-mana syarikat perniagaan yang terllibat dalam kebakaran hutan di Indonesia.

Naib Ketua DPPM, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata tindaka pembakaran secara terbuka telah mengakibatkan berlakunya jerebu sehingga memperjudikan kepentingan awam.

"Perlu dikenakan hukuman yang berat harus setimpal dengan jenayah alam sekitar yang dilakukan bagi memastikan isu ini tidak berulang lagi.

"Malah tidak keterlaluan sekiranya Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun ini juga sebagai komitmen padu untuk melindungi kepentingan negara-negara anggota," katanya.

Beliau yang turut meminta agar usaha menangani masalah jerebu tidak terhad dalam kerangka diplomatik dan penggubalan polisi baru sebaliknya serius ke arah penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat.

"Kelestarian alam sekitar tidak harus dicabul sehingga memudaratkan rakyat, cabaran jerebu hampir saban tahun, namun tindakan bersepadu yang diambil setakat ini masih berada pada peringkat yang sederhana.

"Masih banyak ruang yang perlu dilaksanakan untuk memastikan isu ini tidak berulang kembali," katanya lagi.

Menurut beliau, DPPM juga turut terkilan dengan penangguhan kali kedua agenda pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia untuk menangani cabaran jerebu serantau yang sepatutnya ditandatangani pada 25 September lalu. – HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace