Pendukung PAS jangan sekadar berpeluk tubuh

ASLANI M | .

RANTAU PANJANG: Biarpun PAS Kelantan kurang terkesan dengan gerakan memecahkan parti itu dari dalam, namun ahli dan pendukung PAS perlu terus istiqamah mempertahankan kepimpinan ulama.

Setiausaha Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Kelantan, Md Ashaari Mamat berkata sikap istiqamah dan semangat juang perlu ditonjolkan ketika ada segelintir bekas pemimpin PAS mencari wadah baru.

Katanya, ahli dan penyokong PAS tidak boleh hanya berdiam diri di saat ada pihak berusaha merencat perjuangan mendaulatkan Islam.

“Oleh itu bagi mempamerkan semangat juang yang tidak pernah pudar, ahli dan penyokong PAS perlu menghadiri Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan yang akan diadakan Sabtu ini.

“Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh melihat telatah segelintir rakan yang cuba merosak perjuangan diasas ulama sejak 1951,” katanya di sini.

PAS Kelantan akan menganjurkan Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) pada 3 Oktober ini bertempat di Markas PAS Rantau Panjang.

Program itu bermula dengan Munaqasah Ucapan Dasar Presiden pada sebelah pagi, santai anak muda dan jamuan rakyat di sebelah petang.

PIHAK dimulakan dengan kuliah haraki disampaikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Senator Datuk Dr Johari Mat diikuti solat Isya dan solat hajat.

Kemudian ceramah membariskan Naib-Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Selain itu anggota-anggota jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan, Datuk Nasuruddin Daud, Razman Zakaria dari Asokan Perumal dari Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Md Ashaari juga berkata ahli dan penyokong PAS turut berpeluang berdialog dengan pemimpin PAS Pusat berkaitan isu semasa yang berlaku sekarang.

Katanya program itu akan diadakan jam 12 tengahari turut membariskan Ustaz Idris Ahmad, Datuk Ir Iskandar Abd Samad, Ustaz Nasruddin Hassan, Ustazah Nuridah Salleh dan Datuk Mustafa Ali.

“Pada sebelah petang pula kita akan saksikan konvoi bermotor dan kereta antik anak-anak muda dan persembahan dikir barat serta pertunjukan aerospace,” ujarnya.
    
Markas PAS Rantau Panjang dibangunkan di kawasan seluas 12 ekar dilengkapi dewan dua tingkat, masjid, asrama pelajar tahfiz, kantin, Pusat Pengembangan Wanita Kelantan dan padang bola.

Setiausaha PAS Rantau Panjang, Abdul Rasul Muhamad berkata PAS kawasan itu sedia menerima pendukung PAS dari seluruh Kelantan bagi melahirkan iltizam mempertahankan kepemimpinan ulama. - HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace