Mohamad Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas beliau gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata hukuman penjara itu sesuai dan wajar bagi kesalahan itu.

"Rasuah dalam semua cara dan bentuk tidak boleh dibiarkan. Hukuman denda tidak dapat menghantar mesej itu.

"Begitu juga dengan program khidmat masyarakat. Dalam apa-apa keadaan, khidmat masyarakat adalah opsyen hanya untuk kes pesalah muda mengikut Seksyen 293 Kanun Acara Jenayah, khidmat masyarakat bagi kes ini tidak terpakai kepada perayu (Dr Mohamad Khir)," kata Hakim Zulkefli dalam mahkamah yang penuh sesak.

Beliau berkata kesalahan itu, yang telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, bukan perkara kecil dan penjara setahun, yang tidak dirayu oleh pihak pendakwa raya, tidak terlalu berat.

"Perayu telah mempergunakan kedudukannya. Satu daripada tujuan Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah untuk mencegah rasuah seumpama itu," katanya.

Selepas keputusan itu, Dr Mohamad Khir, 50, yang kelihatan tenang dilihat bercakap dengan pasukan peguam mewakilinya termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau kemudian berpaling menghadap ke arah galeri awam dan berkata "Terima Kasih semua" sebelum dibawa ke lokap mahkamah.

Isterinya, Zahrah Kechik, 50, yang juga kelihatan tenang, mengiringi suaminya ke lokap mahkamah sebelum suaminya dihantar ke penjara Kajang dengan kereta polis pada 2.52 petang.

Pada 22 Sept, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Dis 2004.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dr Mohamad Khir yang merupakan doktor gigi membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - Bernama

Share on Myspace