Kurangkan import makanan elak aliran wang keluar

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengurangkan import makanan dari luar negara bagi mengelakkan aliran wang keluar negara, demikian tegas Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa dengan tadahan hujan yang tinggi malangnya tidak boleh menghasilkan bahan makanan yang cukup sehingga terpaksa menagih simpati dengan negara lain.

"Malaysia bukan negara sahara yang tanahnya kering kontang dan tidak berair. Bahkan Malaysia juga memiliki agensi pertanian dan institut pertanian yang mempunyai kepakaran di dalam bidang pertanian.

"Persoalannya kenapa negara semakin teruk sehingga terpaksa makanan asasi pun perlu bergantung daripada negara luar," katanya kepada Harakahdaily.

Soalnya di mana Malaysia mahu mendapatkan bekalan makanan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di negara pembekal makanan seperti bencana alam ataupun peperangan.

"Begitu juga dengan hasil buahan tempatan yang berlaku lambakan sehingga tidak ada harga dan tidak berbaloi untuk dipungut oleh pemilik.

"Kenapa tidak ada daya usaha yang lebih agresif untuk meningkatkan nilai tambah kepada buahan tempatan supaya ia ada nilai di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang begitu gembira mengadakan lawatannya ke tiga bandar raya utama Australia yang berjaya memenuhi matlamat untuk menambah baik import ternakan Malaysia.

Tambahnya, sepatutnya lawatan tersebut menghasil idea supaya Malaysia hendak mengurangkan import makanan sehingga satu ketika Malaysia tidak lagi mengimport makanan sebaliknya mampu eksport makanan.

"Apa yang hendak dibanggakan dengan lawatan ke Australia jika masih lagi mengharapkan import makanan daripada negera tersebut. Ertinya berapa banyak wang dihabiskan, lebih-lebih lagi nilai ringgit semakin merudum," tegas beliau.

Katanya, sejarah hitam projek Perbadanan Fitlot Kebangsaan (NFC) yang diberi kepada syarikat milik suami kepada Datuk Sharizat Jalil sebanyak RM250 juta berkubur begitu sahaja.

"Tujuannya baik, tetapi diberikan kepada bukan ahlinya, maka inilah yang terjadi. Jika wang sebanyak itu boleh membeli lembu sebanyak 50,000 ekor lembu jika nilai seekor RM5000. Alangkah bahagianya kalau lembu itu diberi kepada wanita Umno yang susah, ertinya 50,000 wanita Umno yang susah akan terbela. Tetapi apakan daya, hajat tak kesampaian," katanya.

Dalam jawapan di Parlimen dalam tahun 2013, Kementerian Pertanian mengakui bahawa bagi tempoh sepuluh tahun di antara 2002 hingga 2012, Malaysia membelanjakan RM221.81 bilion untuk mengimport makanan iaitu purata RM22 bilion setiap tahun. – HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace