Ringgit jatuh: Apakah negara ini ada Menteri Kewangan?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ringgit terus jatuh dan kini mendekati paras yang amat memeranjatkan pelajar-pelajar di luar negara serta golongan peniaga iaitu RM4.50 berbanding USD1.

"Ramai tertanya-tanya apakah Malaysia mempunyai Menteri Kewangan?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ketika peniaga Tukaran Mungkir Kredit (CDS) meletakkan negara di ‘status rendah’  tiada kedengaran komentar membalas daripada Menteri Kewangan.

Menurutnya, ketika Ringgit mencecah RM4.45 semalam, Menteri Kewangan dan kementerian tidak memberikan sebarang reaksi.

Beliau berkata, hanya kedengaran suara solo Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang mencadangkan agar negara mengukuhkan kedudukan domestik bagi menghadapi cabaran kemelut nilai ringgit dan harga komoditi hari ini.

"Namun, PAS bimbang," ujarnya.

Katanya, PAS bimbang sudah tidak wujud kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara ekoran siasatan Bank Negara terhadap 1MDB dan juga kenyataan Zeti pada 21 September yang berbunyi: “Kita tidak perlu lagi apa-apa skandal. Kita tidak perlu ketidakstabilan politik. Apabila mereka menyelesaikan semua isu berkaitan dengan 1MDB, maka kita akan dapat melihat pemulihan kepada nilai Ringgit”.

Tambah beliau, rakyat mempunyai keyakinan terhadap Gabernor Bank Negara.

"Namun, beliau hanya boleh berfungsi sepenuhnya sekiranya beliau mendapat kerjasama penuh seorang Menteri Kewangan yang dapat fokus kepada tugasnya tanpa risau apa-apa skandal yang akan timbul kerana cuba menutup masalah di 1MDB," ujar Tuan Ibrahim lagi.

Justeru, tegasnya PAS terus mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatan Menteri Kewangan.

"PM patut tumpu sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah 1MDB," katanya.

Tambahnya, tempoh 6 bulan yang diberi PM pada ahli-ahli Umno pada 14 Jun 2015, kini hanya tinggal 3 bulan sahaja.

"Anggaplah ini pengorbanan untuk meringankan aniaya kepada seluruh warga Malaysia," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 30/9/2015

Share on Myspace