Tiada siapa berhak desak PAS keluar Kerajaan Selangor

JUHANI RAHMAN | .

KUALA LUMPUR: Desakan bawahan yang meminta PAS supaya berundur dari pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor kerana enggan menyertai Pakatan Harapan tidak sepatutnya timbul.

Hal ini kerana, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, kerajaan negeri itu ditubuhkan hasil kemenangan Pakatan Rakyat dalam dua siri pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Pakatan Harapan tidak ada pada PRU13 ketika Selangor dirampas dari BN.

"Selangor dirampas oleh PKR, PAS dan DAP bukan Pakatan Harapan," ujarnya melalui aplikasi WhatsApp kepada Harakahdaily hari ini.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri menegaskan, tiada pihak wajar membangkitkan lagi soal kedudukan Exco PAS dalam kerajaan negeri malah kewujudan Pakatan Harapan juga tiada kena mengena dalam bidang eksekutif itu.

"Pakatan Harapan adalah perancangan untuk memenangi PRU14, tiada kena mengena dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor," jelasnya yang juga Naib Presiden PAS. - HARAKAHDAILY 30/9/2015

Share on Myspace