PAS Kubang Kerian kekal istiqamah

ASLANI M | .

KUBANG KERIAN: PAS kawasan ini yang diketuai Datuk Husam Musa kekal istiqamah meneruskan perjuangan bersama kepemimpinan ulama sehingga mampu menduduki Putrajaya.

Timbalan Yang Dipertuanya, Abdul Rahman Yunus berkata PAS kawasan itu meneruskan gerak kerja parti seperti biasa ketika ada segelintir pemimpin di kawasan lain menyertai wadah baru.

“Kepimpinan PAS Kubang Kerian kekal istiqamah biar pun ada pihak cuba mempengaruhi bagi meninggalkan perjuangan sekarang.

“Begitu juga Datuk Husam selaku Yang Dipertua biar pun didatangi pihak tertentu untuk mempengaruhinya, namun dia kekal mempertahankan perjuangan lama,” katanya di sini.

Semalam Ketua Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim memberitahu PAS kawasan terbabit tetap utuh biar pun bekas Yang Dipertua, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyertai Gerakan Harapan Baru.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumbuh berkata setakat ini belum ada anggota jawatankuasa PAS Kubang Kerian yang meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun katanya kedengaran ura-ura seorang anggota jawatankuasa menyertai Harapan Baru, namun maklumatnya mengenainya tidak jelas.

“Pentadbiran PAS Kubang Kerian berjalan seperti biasa biar pun YDP keuzuran sekarang. Saya dan anggota jawatankuasa lagi meneruskan gerak kerja parti.

“YDP masih memberi komitmen biarpun masih lagi uzur,” katanya.

Menurutnya juga penjelasan isu semasa dan dialog yang dianjurkan PAS negeri di kawasan Kubang Kerian mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, setakat ini Dun Demit dan Salor sudah diadakan program dialog dan penerangan isu-isu semasa dengan kehadiran ramai pemimpin dan penyokong tempatan.

Kata beliau penerangan dan dialog tertutup peringkat kawasan yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad diadakan di Pasir Tumbuh bulan lepas dihadiri ramai pemimpin kawasan dan cawangan.  - HARAKAHDAILY 30/9/2015

Share on Myspace