Kerjasama masyarakat Cina dengan PAS sangat baik

SAIDAH HAIRAN | .

PUCHONG: Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail mengakui kebenaran kaji selidik yang dilakukan PAS bahawa bukan semua masyarakat Cina menyokong DAP.

Katanya, masyarakat Cina di Seri Serdang tetap berharap PAS akan terus menjadi wakil rakyat kerana mereka rajin bekerja dan bukan hanya main politik.

Menurut beliau, ketua komuniti masyarakat Cina mengakui wakil rakyat PAS bukan asyik berpolitik sehingga tidak ada masa untuk melihat rakyat.

"Banyak Adun PAS buat kerja, mereka tengok rakyat, mereka jaga kebajikan rakyat. Ini luahan ketua komuniti masyarakat Cina," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau menegaskan hubungan masyarakat Cina di Dun Seri Serdang sangat baik dan tidak terjejas setelah DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

"Saya bertanya dengan mereka adakah akan terus menyokong PAS. Mereka berkata, kami sentiasa berada di belakang YB sebab YB wakil rakyat PAS yang bekerja," jelasnya.

Menurut beliau, kerjasama dengan masyarakat Cina sangat baik dan mereka menjadi penterjemah suratkhabar Cina jika ada berita berkenaan PAS.

"Mereka akan menyalurkan maklumat terus kepada saya. Mereka rakyat biasa dan sangat pentingkan pendidikan dan kebajikan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Negeri Selangor menyokong kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah bahawa bukan semua masyarakat Cina menyokong DAP. - HARAKAHDAILY 30/9/2015

Share on Myspace