Jangan ingat bila mengalah musuh akan berhenti

IZWAN ABDUL HALIM | .

KLANG: Agenda pelaksanaan undang-undang Islam adalah perisai terpenting umat Islam ke arah memelihara prinsip-prinsip agama ini dari gugatan para musuh yang sentiasa berusaha merungkai kekuatannya, demikian tegas Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Abdul Mu’izz Muhammad.

Katanya, umat Islam perlu memahami tabiat musuh Islam yang tidak akan berhenti untuk menafikan dan menghalang umat Islam dari melaksanakan perintah-perintah agama.

“Jangan ingat apabila kita mengalah dan diam soal pelaksanaan undang-undang Islam, musuh akan berhenti di situ. Bahkan Nabi pesan, musuh akan terus menafikan pelaksanaan prinsip Islam satu demi satu.

“Akan terungkai ikatan Islam satu persatu. Setiap kali terungkai satu ikatan, manusia akan berpaut pada ikatan seterusnya. Ikatan pertama yang terungkai adalah perundangan dan akhirnya adalah solat,” tegas beliau memetik hadis riwayat Imam Ahmad.

Jelasnya, kesan domino itu akan berentetan ke satu tahap di mana umat Islam akan dihalang akhirnya dari menunaikan solat.

Justeru itu katanya, umat Islam diseru agar tidak menghiraukan tindakan mereka yang lantang menentang dan menggugat usaha melaksanakan undang-undang Islam.

Setidak-tidaknya ujar beliau, umat Islam dapat mengenali serta membezakan antara kumpulan Islam dari kumpulan sekular. - HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace