Istiqamah pertahan prinsip dorong ahli Umno masuk PAS

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Manaf (kiri) menyerahkan borang keahlian PAS kepada Ustaz Rosli sambil diperhatikan Tarmizi (berbaju hijau).

KUANTAN: Sikap tetap pendirian dan tegas mempertahankan prinsip perjuangan walaupun terpaksa bertembung dengan parti sekutunya, membuatkan PAS menjadi pilihan ahli-ahli Umno di sini.
 
Bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Mahkota Aman yang menyertai PAS bersama 45 yang lain, Manaf Sabtu berkata, pendirian PAS mengutamakan perjuangan Islam di tengah-tengah pelbagai kekeliruan inilah yang menjadi tarikan kepada mereka.
 
“Kami sudah lama memerhati bagaimana PAS tidak larut dalam arus perubahan politik hingga sanggup kehilangan rakan sekutu demi tidak membenarkan sama sekali Islam diperkotak-katikkan.
 
“Ini membuatkan kami mula sedar akan perjuangan PAS yang dilihat lebih istiqamah dan berlandaskan syariat yang sinonim memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian PAS kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar di Taman Mahkota Aman.
 
Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya.
 
Manaf berkata, sebab lain yang membuatkan mereka yang sebelum ini merupakan ahli Umno terdorong menyertai PAS ialah kerana keliru dengan isu-isu semasa yang yang tiada berkesudahan.
 
Tambahnya, dari hari ke hari pelbagai isu semasa yang dilihat tiada berkesudahan.

"Dari dulu saya berjuang dalam Umno, tetapi saban tahun hidup rakyat semakin sudah dan tertekan.
 
“Dalam keadaan terhimpit dengan kos hidup yang tinggi, kami semakin keliru dengan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikatakan bermanfaat kepada rakyat, tetapi hakikatnya kami makin merana dengan harga barang yang melambung tidak sepadan dengan pendapatan," katanya.
 
Selain itu, ujarnya isu wang derma RM2.6 bilion dan rentetan pelbagai peristiwa berkaitan dengannya juga dilihat penuh dengan tanda tanya yang tiada jawapan dan mendatangkan curiga rakyat di negara ini.
 
“Sebab itu kami yakin, jika PAS yang tegas dan istiqamah mendahulukan Islam ini diberi peluang memerintah negara, segala kecelaruan yang melanda ini akan selesai seterusnya negara akan stabil,” jelasnya.
 
Katanya, corak pemerintahan berlandaskan syariat Islam mampu mendidik rakyat yang berwawasan.
 
Sementara itu, Ustaz Rosli ketika diminta mengulas, berkata, PAS tidak akan lemah apabila wujudnya parti serpihan PAS seperti parti pekerja kerana sebelum ini PAS sudah menerima ujian yang lebih lebih teruk daripada itu, namun masih mampu mara terus.
 
Tambahnya, penyertaan ahli-ahli Umno ke dalam PAS membuktikan ada juga kumpulan yang tertarik dengan sifat ketegasan dan istiqamah pemimpin PAS. - HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace