Minta penjelasan P Pinang henti bantu SAR milik ahli PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat ingin meminta penjelasan Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) yang ditarik balik daripada beberapa buah sekolah rakyat milik persendirian ahli-ahli PAS.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, beberapa buah sekolah agama persendirian itu telah mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun yang lalu tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan.

Bahkan, katanya surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik.

Justeru, tegasnya Dewan Ulamak PAS Pusat mengingatkan kerajaan DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah sebelum ini yang menyekat dan tidak memberi bantuan kepada sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli-ahli PAS kerana sentimen politik.

"Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. - HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace