Jerebu: Angkara kerosakan tangan manusia

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah Ar Rum, ayat 41:



“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Sesungguhnya telah diperingatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya seperti ayat di atas yang sepatutnya di muhasabah oleh setiap manusia di atas mukabumi ini iaitu setiap musibah yang berlaku di atas muka bumi ini adalah berlaku disebabkan oleh kerosakan dan keingkaran manusia itu sendiri di dalam mengubah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sepatutnya setiap manusia perlu menginsafi diri dan kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang terkandung di dalam Al Quran Al-Karim.

Negara kini sedang menghadapi ancaman musibah jerebu yang telah berterusan selama beberapa hari sehingga menyebabkan berlaku rasa panik yang berlarutan di kalangan rakyat Negara ini. Selain itu keadaan jerebu ini juga telah menyebabkan berlaku peningkatan kepada pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik. Terutamanya di negeri Selangor yang mempunyai beberapa tempat yang dikategorikan sebagai kawasan yang tidak sihat terhadap keadaan berjerebu ini.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat negeri Selangor khususnya supaya mengambil langkah-langkah utama di dalam memastikan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga tidak terjejas dengan keadaan berjerebu ini. Rakyat juga digesa sentiasa mematuhi sebarang pengarahan-pengarahan yang dikeluarkan bagi menghadapi keadaan berjerebu ini seperti:

Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.

Mereka yang berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

Penutup hidung (topeng muka) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan kumpulan berisiko tinggi.

Orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah. Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah. Pakai topeng muka jika ingin keluar dari rumah.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.

Gunakan alat penghawa dingin dalam kenderaan ketika sedang memandu.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.

Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100).

Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.

Saya juga telah mengarahkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengeluarkan pekeliling kepada setiap Masjid seluruh Negeri Selangor untuk mengadakan Solat Sunat Hajat kepada Allah SWT bagi memohon keselamatan dan terhindar dari bala musibah jerebu ini selepas Solat Jumaat, 02 Oktober 2015 di tempat masing-masing. Rakyat juga disaran untuk melakukan solat sunat hajat samada secara bersendirian ataupun berjamaah secara berterusan.

Akhirnya, saya mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa kita selama ini dan mengangkat musibah ini serta menolak sebarang bala bencana daripada menimpa rakyat Negara Malaysia dan Negeri Selangor tercinta ini.

DATUK DR AHMAD YUNUS HAIRI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan,
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi

Share on Myspace