Azza Elite rindu Tok Guru Nik Aziz

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: “Saya sayang sangat Tuan Guru, dia seorang ulama yang penuh dengan kasih sayang, lembut dan suka bertanya khabar.

“Walaupun Tuan Guru telah meninggal, namun hingga ke saat ini saya masih teringat dan rindukannya,”ujar artis Azza Elite.

Ketika ditemui beliau memberitahu, walaupun Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang ulama terkenal, namun dia tetap melayannya termasuk para artis lain seadanya dengan penuh hormat.

Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kelantan Feasta 2015, di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke 1V di sini petang semalam.

Azza bersama tiga orang lagi artis Zul Yahya, Fazura, Lan Kristal diundang bagi menjayakan program Kelantan Fiesta yang julungkali pernah diadakan selama lima hari bermula semalam.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Menurut Azza, beliau sedar Tuan Guru bukan hanya disayangi rakyat Kelantan, tetapi Allahyarham disayangi seluruh anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira fahaman politik, anutan agama dan bangsa.

Jelasnya, beliau pernah  bertemu Tuan Guru beberapa tahun lalu secara dekat.

“Insya-Allah segala apa yang dinasihatkan oleh Allahyarham ketika bertemunya, akan saya ingat untuk pedoman saya yang kini telah berhijrah,”ujarnya.

Sementara itu, Azza mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana mengundangnya bersama artis-artis lain untuk menjayakan program Kelantan Festival.

Pada masa yang sama, Azza yang kini sedang giat berniaga turut membawa produk jenamanya seperti busana muslimah. – HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace