Akta 355: PAS bawa usul persendirian kali ke-3

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: PAS tetap akan membawa usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) di parlimen biar pun sudah dua kali gagal dibentang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS tetap meneruskan komitmen membawa usul berkenaan sekali lagi pada persidangan parlimen bermula 19 Oktober ini.

Katanya, PAS sentiasa bersedia membentangkan usul berkenaan walau pun tertangguh pada persidangan parlimen sebelum ini.

“PAS bersedia bawa sekali lagi semasa sidang parlimen Oktober ini.

“Kita juga akan tengok implikasi undang-undang dibimbangi ada subjudis memandangkan ada pihak mengemukakan saman berhubung pembentangan usul berkenaan,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini empat individu mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkaitan usul persendirian bagi meminda Akta 355.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Oktober ini bagi memutus bantahan awal dikemukakan Presiden PAS.

Empat individu iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar danHazwany Jamaludin menyaman Presiden PAS dan empat lagi defendan kerana membawa usul persendirian ke Parlimen untuk meminda Akta 355 bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Pada persidangan parlimen sebelum ini PAS sudah dua kali membawa usul tersebut namun belum dapat dibentang. – HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace