H60K: Kebersamaan ahli, pimpinan dalam Fastaqim

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

 

IPOH: Kehebatan PAS terbukti bertahan sejak dari penubuhannya satu ketika dahulu sehingga ke detik ini, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Dr Zuhdi Marzuki.

Katanya, dipelopori oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin Al-Helmy serta bersilih ganti pimpinan, PAS konsisten berjuang hingga Islam tertegak dalam masyarakat dan negara.

Menurutnya, pendokong dan penyokong PAS sentiasa komited terhadap usaha itu dengan menyumbangkan segala wang ringgit, tenaga dan masa.

"Bermakna, kunci kejayaan PAS adalah kebersamaan antara pimpinan dan ahli serta kematangan dalam menguruskan setiap konflik dan krisis.

"Mewakili kepentingan Islam, PAS sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan media. Ini kerana PAS sentiasa mengutamakan sandaran syariat Islam dalam menentukan hala tuju tindakan dan keputusan .

"Jadi, Himpunan Fastaqim 60K ini adalah natijah terbaik PAS dalam memusatkan pengarahan dan tindakan daripada pimpinan kepada seluruh ahli dan entitinya," ujar beliau.

Menurut Dr Zuhdi, harapan rakyat adalah supaya negara dapat diterajui oleh pimpinan yang berwibawa dan membawa Malaysia ke arah lebih baik.

"Hasrat ini boleh diterjemahkan oleh rakyat melalui PRU-14 akan datang. Kepercayaan ahli kepada pimpinan sentiasa seiring dengan pembawaan PAS bahkan menjadi aspirasi perjuangan Islam serta memberikan kekuatan untuk istiqamah.

Katanya, Islam untuk semua yang dibawa oleh PAS sudah mula bertapak dalam jiwa masyarakat dan dengan penganjuran himpunan Fastaqim 17 Oktober ini bakal memberikan momentum terbaik dalam melebarkan syiar Islam. - HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace