Kuih Bulan lambang hubungan erat PAS-Cina

SAIDAH HAIRAN | .

SEPANG: Kek bulan PAS yang diedarkan sempena perayaan bulan bagi masyarakat Tionghua menjadikan hubungan antara dua kaum ini bertambah erat, kata Adun Tanjong Sepat, Mohd Haslin Hassan.

Menurut beliau, sambutan dan sokongan masyarakat Tionghua terhadap program PAS berjalan seperti biasa dan mereka memberikan kerjasama yang cukup baik.

Katanya sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS bertambah baik walaupun selepas DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

"Saya sebagai wakil rakyat PAS akan terus bekerja menjaga kebajikan mereka tanpa mengira fahaman politik," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Selangor berkata, PAS setiap kawasan akan terus bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam untuk menyampaikan imej parti serta menyebarkan ajaran Islam.

"Kami akan terus bekerja menjaga kebajikan rakyat bagi membuktikan komitmen PAS terhadap rakyat," tegasnya.

Mengulas tentang penubuhan parti baru serpihan PAS katanya, penubuhan parti tersebut memberi suntikan semangat untuk menggiatkan kerjasama dengan masyarakat pelbagai kaum.

"Kami akan terus bekerja dan mengukuhkan PAS serta melebar luaskan hubungan dengan masyarakat," katanya.

Beliau bersama Ahli Majlis Daerah Kuala Langat, Wong Kim Loon;  Ketua kampung Tanjong Sepat Indah, Tai Cho Hoo serta JKKK telah mengedarkan kek bulan kepada masyarakat Cina di DUN Tanjong Sepat. – HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace