GAS 1.0: Bincang isu industri seni negara

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tautan Rahmat akan menganjurkan Gala Aspirasi Seni (GAS 1.0) pada 24 Oktober ini bertempat di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya di Serdang bermula jam 8.00 pagi.

Menurut Pengarah Program, Fauziah Bidin, GAS 1.0 adalah wadah kepada penggiat seni membincang dan melumatkan hala tuju seni berdasarkan kaca mata Islam.

"Program ini adalah julung kali diadakan dengan Tautan Rahmat yang dikepalai Presiden, Ustaz Mohammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina (UMC) melihat keperluan membincang dan melumatkan satu garis panduan kepada hiburan, kesenian yang dilihat sudah jauh terjajah dek doktrinasi hiburan melampau.

"Bagi kami jawatankuasa pelaksana, ini satu kaedah baharu bagaimana seni diaspirasikan dalam konteks yang jauh lebih terarah dengan kaca mata Islam sebagai penunjuk arah, mengembalikan kekuatan bahawa seni boleh menjadi medium membentuk masyarakat kepada sayangkan Islam," kata beliau kepada Harakah semalam.

Menurut beliau, program ini akan membariskan penggiat seni tanah air dan gabungan selebriti pendakwah yang akan menjadi 'pandu arah' kepada perbincangan mereka yang duduk dalam industri seni, samada filem (lakonan) mahupun muzik.

Program yang bakal menampilkan seorang pembikin filem terkenal tanah air itu juga akan dikuatkan lagi dengan kehadiran pendakwah terkenal, Ustaz Syed Kadir Al-Jofree, seorang pelakon, penerbit filem, bekas pemain gitar kumpulan XPDC, Zuar, persembahan oleh penyajak terkemuka, Pyan Habib serta gesekan biola Sani )Kopratasa) selain persembahan artis nasyid Soutul Amal.

Ditanya siapa pengarah, pelakon dan artis terkenal itu, Fauziah berkata pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat dan ia satu kejutan kepada semua pihak.

Beliau mengharapkan orang ramai hadir ke program ini melihat kelainan yang akan ditampilkan dalam penganjurannya.

Sementara itu, Presiden Tautan Rahmat, Ustaz Mohamad Ibrahim pula merayu orang ramai menyumbangkan derma kepada Tautan Rahmat bagi menjayakan program yang bersifat percuma kemasukannya kepada semua lapisan masyarakat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan dan penajaan sebarang bentuk hadiah kepada jawatankuasa pelaksana. Sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Pertubuhan Tautan Rahmat Malaysia di akaun Maybank - 562188310780.HARAKAHDAILY 2/10/2015.

 

Share on Myspace