Islam menang setelah orang melihat ia mustahil

HARAKAHDAILY | .

ALLAH tetapkan perjalanan memperjuangkan Islam akan mencapai matlamat kemenangan memakan masa yang lama. Tujuannya supaya manusia bersabar dan diuji dengan berbagai cubaan sepanjang perjalanan. Hanya mereka yang melepasi ujian sahaja layak mendapat kemenangan Allah.

Semasa umat Islam diperintah berperang melawan Jalut, mereka telah merentas perjalanan yang amat jauh untuk ke medan perang. Tuhan sesatkan mereka berpusing di tempat yang sama sehingga habis segala bekalan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka kebuluran. Akhirnya berjumpa sebatang sungai. Talut yang memimpin umat Islam telah berpesan tidak boleh minum lebih dari secedok tangan, tetapi ramai tidak mempedulikannya dan minum sepuasnya.

Daripada 80,000 orang, hanya 4,000 yang masih patuh dengan arahan Talut. Akhirnya Allah campakkan perasaan takut untuk berperang terhadap mereka yang engkar dan hanya 4,000 orang meneruskan perjalanan. Takdir tuhan, kemenangan Islam ditetapkan di tangan 4,000 orang ini sahaja. Nabi Daud adalah salah seorang daripadanya. Dia dikurniakan pangkat menjadi raja kerana berjaya membunuh Jalut.

Selain itu, Allah juga menetapkan kemenangan Islam akan berlaku setelah manusia melihat bahawa mustahil Islam akan menang.

Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). [Al-Baqarah:214]

Nabi Nuh dipanjangkan usia sehingga berdakwah selama 950 tahun. Berbagai generasi manusia telah dilalui Nabi Nuh namun semuanya tidak beriman. Pernah suatu ketika sedang Nabi Nuh berdakwah, datang seorang tua mengendong cucunya dengan berkata, "Inilah lelaki yang membawa kejahatan sejak zaman nenek moyang aku. Jangan kamu percayainya." Ini menunjukkan lamanya perjuangan Nabi Nuh AS.

Mereka yang melihat situasi ini pasti akan berfikir, mustahil Islam yang dibawa oleh Nabi Nuh akan diterima. Tetapi Allah mentakdirkan sebaliknya. Diperintahkan Nabi Nuh membina kapal pertama di dunia di atas darat. Semua mengejek Nabi Nuh kerana mencipta suatu yang pelik. Akhirnya berlaku banjir besar yang menenggelamkan semua manusia dan hidupan kecuali sedikit yang berada di atas kapal Nuh.

Selepas itu, Allah lahirkan manusia-manusia yang beriman dari zuriat Nabi Nuh. Baginda dikurniakan tiga orang anak yang mejadi baka penduduk dunia iaitu Sam, Ham dan Yafith. Daripada Sam lahirnya keturunan arab, eropah dan bangsa kulit putih (semetic). Daripada Ham lahir keturunan afrika berkulit gelap dan daripada Yafith lahir bangsa Turki serta orang-orang Timur.

Inilah kurniaan Allah terhadap mereka yang sabar. Malangnya ada yang berfikir mahu menang cepat supaya boleh laksana Islam cepat. Dahulukan tawan Putrajaya, dahulukan tawan New York sehingga meninggalkan cara Islam. Ini bersalahan dengan sunnah perjuangan. – HARAKAHDAILY 2/10/2015

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila yang disusun oleh  Alang ibn Shukrimun

Share on Myspace