1,000 berhimpun kutuk kebiadapan Israel

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Kira kira 1,000 peserta berhimpun di hadapan Masjid Jamek dekat sini sejak jam 2 petang tadi usai solat Jumaat dalam satu Himpunan Mengutuk Kekejaman Israel Dan Selamatkan Masjid Al-Aqsa anjuran PAS.

Bermula dengan laungan takbir, himpunan yang dipengerusikan oleh Pengarah Penerangan PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Kamaruzzaman Mohamad menjemput Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad berucap.

Dalam ucapannya, Naib Presiden PAS itu mengecam tindakan jahat Israel laknatullah berterusan menceroboh Masjid Al-Aqsa.

Turut senada mengecam tindakan itu President Muslim Care, Zulkifli Wahijan yang mahu negara antarabangsa dan pertubuhan dunia segera mengambil tindakan ke atas Israel.

Lebih menambah seri himpunan, pengarah filem dan perlakon terkenal Adam Hamid diberi kesempatan berucap.

Dalam ucapannya beliau mahu seluruh umat Islam bersatu menyelamatkan kiblat pertama umat Islam itu.

Sambil menitiskan airmata, beliau mengecam sikap membisu negara kuasa besar dunia Amerika Syarikat yang masih berdiam diri terhadap kebiadaban Israel itu.

Himpunan masih berlangsung dengan ucapan Presiden Geng Ustaz, Ustaz Norazli Musa dan disambung oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Wan Hasrina Wan Hassan. - HARAKAHDAILY 2/10/2015

Share on Myspace