Pendukung PAS di Kelantan pamer komitmen tinggi

ASLANI M | .

RANTAU PANJANG: Biarpun PAS dikejutkan dengan kemunculan serpihan baru, namun PAS Kelantan tetap mempamerkan komitmen tinggi bagi mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama.

Setiausaha Perhubungan PAS  Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata ketika berdepan dengan kemelut dalaman, namun sebahagian besar pemimpin dan ahli PAS tetap istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, kemelut berlaku kerana terdapat rakan-rakan yang sebelum ini bersama bekerja meninggalkan PAS yang diasaskan sejak 1951.

“Mereka tidak lagi bersama kita bahkan sebahagiannya bekerja keras bagi mengalah dan memecahkan perpaduan kita.

“Gerakan kumpulan serpihan itu biar pun tidak  ramai namun mereka bekerja kuat dan keras sehingga memasuki kedai-kedai kopi bagi meluahkan rasa tidak puas hati dan dendam,” katanya pada Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di sini, hari ini.

Program itu diadakan di Markas PAS Rantau Panjang. Program dimulakan dengan nyayian lagu Negaraku dan lagu PAS yang dinyanyikan penuh semangat lebih 1,500 pemimpin dan ahli yang datang dari seluruh Kelantan.

Dewan dua tingkat Markas PAS Rantau Panjang penuh sesak dengan kehadiran peserta. Sebelum itu peserta terpaksa beratur panjang untuk mendaftar sebelum memasuki dewan.

Hadir sama Naib-naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad  serta pimpinan PAS Kelantan.

Hadir sama wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS yang diketuai timbalan pengerusi pusat, Lim Guan Seng.

Che Abdullah juga berkata pendokong PAS hendaklah mempertahankan kerajaan Islam di Kelantan dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Selepas ini kita akan turun ke kawasan-kawasan bagi mengadakan program ucapan  dasar supaya kefahaman penyokong di peringkat akar umbi lebih meluas.

“Pimpinan di peringkat negeri berusaha menyelamatkan ahli-ahli kita daripada gangguan pihak yang berusaha memecahkan perpaduan kita,” katanya. - HARAKAHDAILY 3/10/2015

Share on Myspace