PRU14: Ramaikan ahli PAS, mungkin tanding 3 penjuru

ASLANI M | .

RANTAU PANJANG: PAS perlu meneroka bidang yang bukan tradisional kepada parti itu, sebaliknya menjuarai isu-isu baru bagi memperlihatkan kemampuan mengurus hal ehwal negara.


Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata rakyat mahu melihat PAS keluar daripada bidang-bidang biasa yang dijuarai sebelum ini.

Katanya isu-isu yang menjadi perhatian masyarakat termasuk alam sekitar hendaklah diketengahkan kepada umum.

“Isu tersebut hendaklah kita perjelaskan dan dibentang kepada rakyat. Ini memperlihatkan PAS bukan lagi sebuah parti tradisional,” katanya ketika membentang kertas kerja pada Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di Markas PAS Rantau Panjang hari ini.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan Selangor berkata PAS hendaklah turun ke bawah bagi  menyebarkan fikrah Islam dan tidak lagi tertumpu di masjid serta madrasah sahaja.

Katanya di Selangor sekarang PAS tidak lagi memberi tumpuan kepada masjid-masjid sahaja bagi memberi penerangan mengenai Islam.

“PAS keluar dari masjid dengan menumpukan medan baru termasuk pasar-pasar malam yang dikenali sebagai dakwah street. Kita tahu mereka yang datang masjid orang yang sudah minat agama.

“Jadi kita kena keluar dari linkungan itu dengan mendekati golongan muda dan mereka yang tidak datang ke masjid atau surau,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan perjuangan PAS tidak boleh sekadar syok dengan slogan sahaja tanpa memperlihatkan kemampuan apa yang kita lakukan.

Selain itu kita kena ada hubungan mesra dengan NGO bagi  memperlihatkan kemampuan  boleh berkawan dengan orang lain.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang bagi menghadapi PRU14 kemungkinan berdepan cabaran yang cukup berbeza kerana kemungkinan berdepan pertandingan tiga penjuru selepas muncul parti baru serpihan PAS.

“Oleh itu kita hendaklah meramaikan ahli bagi menghadapi situasi tersebut. Apabila jentera parti kita ramai lebih mudah untuk berdepan dengan mereka,” katanya.  

Beliau berharap wakil-wakil rakyat PAS hendaklah meneruskan tugas khidmat kepada rakyat biar pun berdepan dengan pembelotan rakan yang pernah berjuang bersama kita sebelum ini.

Kata beliau juga seorang pemimpin MCA Datuk Seri Ong Ting Kiat yang menang di Selangor pada PRU 2008  biar pun MCA kalah teruk pada pilihan raya tersebut.

“Biar pun MCA kalah tetapi Ting Kiat masih lagi menang. Ini kerana khidmat beliau kepada rakyat sebelum ini,”  katanya. - HARAKAHDAILY 3/10/2015

Share on Myspace