Anggota Bomba guna Bahasa Mandarin pujuk mangsa

ROZALINA AYOB | .

KUALA LUMPUR: Kebolehan bertutur Bahasa Mandarin menjadi satu kelebihan buat seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu apabila dapat menyelamatkan seorang lelaki daripada melakukan tindakan yang boleh mengancam nyawa.

Mohd Fariszuan Jumaat, 22, tidak menyangka sama sekali kelebihan itu dapat digunakannya dalam satu kejadian pada 8 Sept lepas apabila ditugaskan berkomunikasi dengan mangsa yang cuba terjun dari koridor tingkat 15 sebuah perumahan awam di sini sambil memujuk secara psikologi dan melayan mangsa berbual.

"Kita juga menyerahkan air dan rokok kepada mangsa dalam usaha untuk menenangkan keadaan sebelum berjaya menyelamatkan mangsa," katanya kepada Bernama ketika menceritakan kembali detik cemas yang dilaluinya dan anggota lain yang terlibat dalam operasi menyelamat lelaki berkenaan.

Beliau dan rakan setugasnya, Al-Hakim Ismail, 23, ditemui selepas menerima anugerah penghargaan daripada Presiden Malaysian Fire Protection Association (MFPA), Teh Khay Leong, di sini.

Dalam kejadian 4 petang pada 8 Sept itu, sepasukan anggota bomba serta dua jentera dari Balai Bomba Pudu dan Hang Tuah digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam mengenai tindakan lelaki terbabit yang ketika itu berdiri di koridor tingkat 15, Perumahan Awam Seri Sarawak di sini.

Mangsa diselamatkan pada 5.20 petang.

Video kejayaan pihak bomba menyelamatkan mangsa berkenaan telah tersebar dan menjadi viral di laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Mohd Fariszuan berkata kemahiran bertutur bahasa itu diperoleh sewaktu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa di Tawau, Sabah.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, bukan sekadar adik beradiknya sahaja pernah belajar di sekolah aliran Cina, malah kebanyakan saudara maranya juga pernah mendapat pendidikan yang sama.

Ketika ditanya bagaimana dalam ruang sempit ketika itu, beliau boleh menyelamatkan mangsa, Mohd Fariszuan berkata beliau hanya mempraktikkan sepenuhnya latihan yang dipelajari sebagai anggota bomba sejak berkhidmat tiga tahun lepas.

"Apabila menghadapi sesuatu keadaan tegang, harus berfikir secara tenang, profesional dan jangan kelam kabut, kerana kita bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Sementara itu, bagi Al-Hakim, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan pula berkata kes itu merupakan pengalaman pertama bagi dirinya menangani situasi seperti itu sejak bertugas tiga tahun lalu di Balai Bomba Pudu.

Anak ke-10 daripada 11 beradik itu berkata insiden tempoh hari merupakan kes amat rumit baginya kerana disebabkan faktor keadaan dan bentuk bangunan itu, pihak bomba tidak boleh memasang "air bag" dan jaring di bahagian bawah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman. - Bernama

Share on Myspace