Gugurkan penyertaan Malaysia dalam TPPA

HARAKAHDAILY | .

Kami menggesa untuk kesekian kalinya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar undur segera dari penyertaan dalam Perjanjian TPP (Trans Pacific Partnership Aggreement).

Jika kerajaan masih tidak mahu mendengar suara bantahan rakyat, rakyat dan generasi mendatang bakal menanggung risiko. Malaysia akan terkunci dalam sebuah perjanjian perdagangan yang tidak seimbang dengan ekonomi yang sudah kuat dan kukuh seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Kanada dan Australia.

Perundingan TPP kini sudah menghampiri penghujungnya untuk dimuktamadkan. Jelas  segelintir syarikat korporat AS yang mempunyai  akses dan pengaruh yang lebih kuat dalam perundingan tersebut bakal mendapat keuntungan jauh lebih banyak. TPP bukan sekadar mengurangkan tarif dan kuota tetapi juga soal pindaan perundangan, dasar dan kuasa institusi-institusi pengawal di negara ini.

Kami mengambil perhatian serius kepada artikel berjudul "Don’t let TPP jeopardize Malaysia’s Economic Development" September 24, 2015 yang ditulis oleh dua pakar ekonomi iaitu  Joseph E. Stiglitz (seorang Professor  Universiti di Columbia University dan  Ketua Ekonomi di   Roosevelt Institute)  dan Adam S. Hersh (seorang ahli Ekonomi Seniur di Roosevelt Institute dan Cendikiawan Pelawat di Columbia University’s Initiative for Policy Dialogue).

Dalam artikel itu, pendedahan dalam dokumen yang bocor dari perundingan tersebut, wakil Malaysia telah banyak memberi laluan kepada syarikat dari negara yang sudah memiliki ekonomi yang jauh lebih kukuh.

Sangat jelas menurut rencana itu, kerugian ekonomi dipihak Malaysia akibat bersetuju dengan rundingan itu sangat besar. Berdasarkan pengalaman perdagangan dengan pihak Amerika, sering sesebuah negara yang berdagang dengan Amerika  mengalami  banyak mudarat berbanding manfaat.

Apa yang lebih memerenjatkan ialah pakar ekonomi di Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan menyatakan Malaysia akan rugi akibat menyertai TPP, di mana perbezaan dalam nilai eksport and nilai import akan menurun sebanyak US$17 bilion setahun akibat perjanjian tersebut. Maknanya TPP akan menyebabkan ekonomi Malaysia lebih buruk jika perjanjian itu ditandatangani.

Kami menegaskan TPP bukan perdagangan yang adil tetapi adalah perjanjian untuk menguruskan perdagangan yang lebih cenderung untuk kepentingan korporat antarabangsa. Sesungguhnya dalam perjanjian itu apa yang diistilah sebagai rakan (partner) pada hakikatnya  bukan  rakan  dalam erti kata sebenar. Syarikat korporat AS akan meraih keuntungan lebih banyak dalam TPP berbanding orang biasa semada di Malaysia mahupun rakyat di Amerika Syarikat itu sendiri.

Sebagai contoh industri Malaysia yang bakal rugi melalui TPP adalah industri besi dan keluli, aluminium dan mineral, plastik dan getah. Peluang pekerjaan dan pelaburan dalam industri ini yang semakin mengecil berlaku serentak dengan hasil pertanian yang menghadapi persaingan yang lebih sengit dari negara lain.

Lebih parah lagi Malaysia akan dibatasi untuk menggubal undang-undang untuk melindungi kesihatan dan keselamatan awam serta memelihara kualiti alam sekitar disebabkan ia dianggap boleh menjejaskan keuntungan pihak pelabur.

Dalam TPP, sebarang pertelingkahan akan menggunakan sebuah mekanisme yang disebut "investor-state dispute settlement " (ISDS) atau penyelesaian perselisihan dalam pelaburan. Sebarang keputusan akan mengikat walaupun ia mungkin bercanggah dengan undang-undang  dalam negara. Syarikat berkenaan mesti dibayar pampasan atas pelaburan sekaligus anggaran  keuntungan yang bakal diperolehi tetapi hilang disebabkan undang-undang tempatan yang diujudkan oleh negara tersebut. Ini boleh berlaku walaupun produk yang dihasilkan oleh syariakat itu boleh membunuh manusia di negara yang berkenaan seperti industri rokok.

Sudah ada beberapa negara yang menghadapi saman oleh syarikat dari AS seperti Peru, Australia, Kanada dan Mexico.

Kerajaan perlu ingat, TPP juga memberi implikasi bahawa ia tidak akan dibenarkan  mengguna mekanisme kawalan modal (capital control) seperti yang dilakukan dalam krisis kewangan 1997-98. Bermakna aktiviti spekulasi wang (modal) masuk dan keluar akan mendedahkan Malaysia kepada porak peranda kewangan yang tidak boleh dikawal jika TPP ini ditandatangani.

Demikian TPP juga bakal mengetatkan undang-undang Perlindungan Harta Intelek. Dengan yang demikian syarikat gergasi AS yang mengeluarkan ubatan akan boleh meraih keuntungan lebih tinggi bila ia menggunakan pelbagai alasan untuk memanjangkan jangka waktu Perlindungan Hak Intellek dengan lebih lama dan memastikan tidak ada saingan dari mana-mana pihak lain. Isu yang akan dihadapi oleh pengguna di Malaysia ialah harga ubatan akan naik manakala bekalan ubat juga akan terjejas  disebabkan syarikat pengeluar ubatan generik (ubat yang mempunyai kandungan dan kesan yang sama) tidak dibenarkan beroperasi di bawah TPP.

Kami yakin TPP bukan suatu pilihan untuk meraih keuntungan ekonomi. Malah di sebaliknya ia lebih memberi peluang kepada syarikat korporat dari negara lain terutama dari  ekonomi yang sudah kukuh seperti AS akan mengeksploitasi seluruh ruang dan peluang di Malaysia yang diberi di bawah  TPP.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Majlis Perundingan Pertuhan Islam Malaysia (Mapim) - HARAKAHDAILY 4/10/2015

Share on Myspace