PAS membina momentum kemenangan

HARAKAHDAILY | .

Kemenangan adalah suatu yang didambakan justeru itulah antara objektif sebuah perjuangan. Sementelah bagi perjuangan Islam yang digerakkan oleh PAS. Kita memerlukan kemenangan dan pastinya kemenangan itu bukan hanya terhenti di gerbang Putrajaya tetapi menjangkau ruang akhirat sebagai sebuah kemenangan yang hakiki.

Namun sangat diinsafi bahawa kemenangan tidak semudah menggoreng kacang di atas kuali leper. Ia memerlukan kesungguhan bekerja, keberanian bertindak, kesepakatan menatang keputusan dan kebijaksanaan merangka strategi serta mengurus pendekatan dan berlapang dada mendengar nasihat.

PAS kini meletakkan seluruh saf kepimpinan dan ahlinya dalam gelombang kebangkitan dan momentum kemenangan. Motivasi perjuangan dan maklumat semasa telah dihantar ke segenap peringkat pimpinan parti agar Beristiqamah Hingga Kemenangan menerusi pelbagai aktiviti dan program parti.

Menginsafi bahawa perjuangan Islam ini sering berdepan mehnah atau tribulasi yang sukar ditempoh, maka seluruh anggota parti dinasihatkan banyak bersabar dan tidak cepat membuat keputusan di saat jerebu politik yang semakin tebal.

Bertenang dan jangan habiskan banyak masa berada di luar jamaah dalam situasi sebegini. Sebaliknya disaran supaya kerapkan program usrah, liqa fikri, tamrin dan sebagainya di samping menyemarakkan aktiviti penerangan awam.

Pamerkan kematangan berpolitik di samping pertahankan izzah (kehebatan dan kemuliaan) perjuangan Islam yang didukung. Optimis menggalas risalah yang benar dan bersedia mendepani pelbagai pihak dengan hujjah yang jelas.

Usah dukacita dan keluh kesah dengan ujian pergolakan dalaman yang dialami oleh jamaah sebaliknya bingkas bangun untuk memastikan kedudukan kita betul di atas paksi perjuangan dan Istiqamah dengan hala tuju yang benar dan tulen.

Tidak perlu meratapi mereka yang telah pergi justeru kita yang masih tinggal ini berkewajipan meneruskan perjuangan suci ini dengan segala tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Pacu perjuangan ini menuju kemenangan. KPI perjuangan kita ialah menang di dunia dan akhirat. Ertinya bekerjalah dengan ikhlas dan gigih tanpa kenal penat atau lelah untuk membuktikan kesungguhan dan pengorbanan kita demi Islam yang diperjuangkan. Pastikan keredhaan Allah swt kekal mengiringi usaha kental perjuangan kita.

Tiada maknanya menang dalam murka Allah SWT sebagaimana kita tidak boleh leka dan lengah menggerakkan usaha mencari kemenangan bertunjangkan prinsip dan manhaj perjuangan Islam yang tulen.

Sabda Rasulullah saw:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
Barangsiapa mencari redha Allah swt. sungguhpun manusia membenci, nescaya Allah swt menggenapkan segala keperluannya (di dunia ini) dan barangsiapa mencari redha manusia sementara Allah swt murka, nescaya Allah swt menyerahkannya kepada manusia. (Riwayat Imam Turmuzi)

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 4/10/2015

Share on Myspace