Soalnya bolehkah Najib dikalahkan di Pekan?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rasanya sudah dua tiga kali Tun Mahathir Mohamad menyebut mengenai perlunya Najib Razak dikalahkan di kawasan pilihan rayanya, Pekan sebagai salah satu cara menghalangnya daripada terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang.

Bagi penulis Shahbudin Husin, ini tentunya berikutan sikap Najib yang enggan mengalah serta terus mahu berpaut di kerusi yang didudukinya di singgahsana Perdana Putra meskipun hingar bingar menolaknya bukan lagi sekadar kedengaran di dalam negara, malah sudah merebak ke banyak penjuru dunia.

Semalam, dalam satu majlis anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, di Ampang, bekas Perdana Menteri itu mengulangi sekali lagi perkara itu.

Kali ini, selain meminta pengundi Pekan mengalahkan Najib dengan menolak sebarang bentuk percubaan memberi mereka wang, beliau juga mahu mereka mencontohi sikap pengundi Cina.

Saya lihat, orang Cina kalau kepentingan mereka terancam, mereka akan bersatu dan sanggup melupakan kepentingan parti yang mereka anuti, tambah beliau.

Katanya, pengundi Pekan juga perlu bijak dan berpakat dengan baik serta belajar daripada semangat orang Cina itu.

Bagaimanapun, jelas Tun Mahathir, sama ada mereka boleh berpakat dengan baik atau sebaliknya, ia ditentukan oleh pengundi Pekan sendiri.

Orang ini (Najib) pencuri, biarkan dia kalah di Pekan, tetapi dalam masa yang sama pastikan Umno terus menang dalam pilihan raya, hurainya lagi.

"Nampak macam menarik idea Tun Mahathir, malah ramai yang bersorak dan bertepuk tangan mendengarnya.

"Soalnya, bolehkah Najib dikalahkan di Pekan?" tanya Shahbudin menerusi tulisan dalam blognya, hari ini.

Menurutnya, meskipun Najib pernah menang tipis 241 undi pada pilihan raya 1999, tetapi selepas itu majoriti kemenangannya boleh dikira cukup selesa.

Tambahnya, Najib dikatakan bukan saja lebih memperkemaskan jenteranya menangani segala macam masalah di kawasan pilihanrayanya itu, bahkan turut aktif menambah pendaftaran pengundi juga bagi memastikan kemenangan tipis itu tidak berulang lagi.

Sebab itu, majoriti kemenangan Najib dalam pilihan raya 2004 terus melonjak kepada 22,292 undi.

Malah jika dalam pilihan raya 1999, jumlah yang keluar mengundi hanya seramai 27,539 orang, angka itu meningkat kepada 41,102 orang pada pilihan raya 2004.

Daripada majoriti kemenangan sebanyak 22,292 undi pada 2004 pula, keselesaan itu berterusan lagi dengan menjadi 26,464 undi pada pilihan raya 2008 dan 35,613 undi pada pilihan raya 2013 yang lalu.

"Mengambil kita semua angka-angka ini, bagaimanakah Najib mampu ditewaskan?" tanya Shahbudin lagi. - HARAKAHDAILY 4/10/2015

Share on Myspace