Harta Waqaf bukan harta sepencarian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Harta waqaf bukan harta sepencarian yang boleh difaraidkan. Demikian tegas Naib Presiden PAS. Ustaz Idris Ahmad dalam catatan Dhuha beliau pada pagi ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini berikutan tertubuhnya parti serpihan dari PAS selepas pemilihan parti tersebut.

"Waqaf ialah berhenti,menahan, menghalang. Ertinya harta tersebut ditahan hak pewaqaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah" tegas beliau dalam catatan tersebut.

"Apabila waqaf khas seperti orang waqaf kepada PAS, maka ia milik PAS. Kalau orang waqaf untuk sekolah, maka ia hanya milik sekolah.” ujar beliau lagi yang juga merupakan ahli Parlimen Bukit Gantang,  Perak.

Beliau turut mengingatkan bahawa harta waqaf bukan harta sepencarian yang boleh difaraidkan sesuka hati.

Beliau juga turut memberikan amaran agar pihak terbabit jangan bermain  dengan murka Allah SWT walaupun dari perundangan mungkin terlepas.

"Mungkin dari segi pentadbiran mereka boleh ambil balik, tetapi dengan Allah tidak terlepas. Sejarah membuktikan orang yang makan harta waqaf tidak selamat di dunia dan di akhirat” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace