Mahasiswa tuntut reformasi pilihan raya kampus

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Pilihan raya Kampus yang bebas dan adil penting agar persatuan mahasiswa terpilih diberi tanggungjawab dan kuasa sah untuk menegakkan isu mahasiswa secara bebas dan berkecuali.

Oleh itu, Pro Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKL) menuntut agar reformasi pilihan raya kampus wajar dilakukan dengan segera.

Bahkan, sekiranya tujuh tuntutan itu gagal dijawab dalam tempoh sehingga Khamis ini pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Parlimen kerana mengambil serius sistem demokrasi yang seolah-olah cuba dipermainkan.

Tujuh tuntutan itu adalah, kebebasan berkempen, panjangkan tempoh berkempen, hentikan politik kotor, pemantauan pilihan raya kampus, wujudkan sekretariat pilihan raya yang adil, peruntukan kepada calon,  dan bebas campur tangan politik luar.

Menurut Koodinator Pilihanraya Kampus UMSKL Mohammad Syahizaan Jasmin sejak tahun 2003, jenayah demokrasi yang berlaku telah mengakibatkan perjalanan pilihanraya kampus menjadi cacat.

"Misalnya tempoh kempen yang pendek iaitu tiga hari adalah serta terdapat sekatan-sekatan berkempen melalui beberapa peraturan dalam pilihan raya adalah tidak munasabah kerana akan menyebabkan pengundi gagal mengenali siapa yang selayaknya untuk dipilih," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, pilihan raya kampus membenarkan calon berkempen secara bebas dan terbuka supaya pengundi dapat mengenali seterusnya memilih calon berdasarkan agenda dan prinsip.

Selain itu, katanya, campur tangan luar dari parti politik juga perlu dibanteras segera seperti yang berlaku tahun lepas apabila satu rakaman suara mendedahkan campur tangan politik wang berlaku bagi memenangkan calon-calon tertentu.

"Walaupun pilihan raya hanya sebahagian kecil daripada intipati demokrasi, namun pelaksanaannya memberi signifikan yang penting dalam amalan demokrasi kerana rakyat diberi hak dan kuasa untuk memilih pemimpin mereka secara bebas," jelasnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace