Rahim Thamby Chik didakwa menghasut

BERNAMA | .

SHAH ALAM: Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mendakwa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook milik beliau.
    
Abdul Rahim, 65, yang hadir berseorangan di Mahkamah Sesyen di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Slamat Yahya.
    
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebooknya Rahim Tamby Chik di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada kira-kira 8 pagi, 25 Sept lepas.
    
Abdul Rahim didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Beliau turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan akaun Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.
    
Bagi tuduhan itu, Abdul Rahim didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya Abdul Rahim dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
    
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Abdul Rahim bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,000.
    
Hakim Slamat membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan semula kes.
    
Selain Mohd Dusuki, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala pembelaan turut dibarisi peguam Wan Azmir Wan Majid serta Ahmad Al-Hady Abdul Razak.
    
Media sebelum ini melaporkan Abdul Rahim memuat naik status di laman sosial miliknya mendakwa Tengku Amir Shah telah murtad.
    
Pada 30 Sept lalu, Dewan Diraja Selangor mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Tengku Amir Shah telah menukar agama.
    
Namun, sehari sebelum itu, (29 Sept) Abdul Rahim dilaporkan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Tengku Amir Shah menerusi laman Facebook dan Twitter miliknya. - BERNAMA

Share on Myspace