Mahkamah benarkan kes tuntutan fitnah PJ PAS Perak

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan tuntutan fitnah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria terhadap pemilik blog alhusseyn51, Mohamed Ali Hussin hari ini.

Keputusan dibacakan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali atas fitnah blog tersebut bertajuk "Pesuruhjaya PAS Perak cuma mahu balas budi Menatu Tuang Presideng jer!".

Razman menerusi peguamnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS Perak, Mohd Zamri Ibrahim telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM1 juta dari penulis tersebut.

Menurut mahkamah, taksiran ganti rugi ke atas penulis yang juga telah membuat sebaran terbabit ke media sosial Facebook itu akan dilakukan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh kelak.

Sementara itu Razman ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, budaya fitnah bukan dari Islam dan ia mampu meruntuhkan persaudaraan Islam sekaligus memecahbelahkan masyarakat.

"Keputusan ini di atas berkat doa dan kerjasama semua pihak untuk melindungi sesiapa sahaja yang dizalimi, serta tidak memberi ruang fitnah berleluasa dalam minda masyarakat," tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace