Hanya Islam mampu satukan masyarakat majmuk

IZWAN ABDUL HALIM | .

 MIRI: Kemajmukan manusia hanya dapat diharmonikan oleh Islam, sedangkan penguasaan agama-agama dan kuasa besar lain sering menyebabkan pertembungan yang mendatangkan penderitaan kepada manusia.

Maka perutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat akhir zaman adalah membawa mesej baharu iaitulah rahmat untuk sekalian alam dengan membangunkan manusia menurut wahyu Allah SWT.

Demikian intipati utama ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 15.0) di Hotel Mega, di sini semalam.

“Sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, sudah berlaku pertembungan yang sangat dahsyat di alam dunia ini. Walaupun sudah ada agama-agama, sama ada warisan agama Samawi, agama langit yang dibawa oleh para Rasul; Yahudi dan Kristian, ataupun agama yang sudah menjadi ciptaan manusia, walaupun asalnya Samawi; Hindu, Majusi, Buddha dan lain-lain.

“Walaupun di masa itu sudah ada dua kuasa besar dunia; Parsi dan Rom, disamping kerajaan-kerajaan besar; China, India, Mesir, Habsyah dan Yaman, yang dianggap negara bertamadun, namun manusia menderita, kerana berlakunya pertembungan dan peperangan di antara agama dan kuasa-kuasa besar.

“Berlakunya pertembungan, bila penganut agama Yahudi menang, mereka musnahkan gereja Kristian. Penganut Hindu menang, mereka bunuh penganut Buddha. Penganut Buddha menang menindas penganut Hindu. Di samping peperangan di antara Parsi dan Rom kuasa besar dunia, China dan lain-lain,” ujarnya menghurai ayat 40 dan 41 surah al-Hajj.

Menurutnya, hal tersebut berbeza ketika Nabi Muhammad SAW memasuki Yathrib yang terdiri dari penduduk pelbagai kabilah Arab serta aliran mazhab Yahudi dan Nasrani dengan masing-masing mempunyai semangat perkauman tinggi.

Terang Tuan Guru, Baginda Nabi SAW telah mengajak semua mereka untuk bergabung dan bersefahaman bagi mendirikan negara Madinah di mana hubungan itu telah menjadikan Madinah bandar dan masyarakatnya bertamadun.

“Dengan makna manusia tak boleh hidup bersendirian. Orang Melayu tak boleh bersendiri, orang Cina tak boleh bersendiri, orang India tak boleh bersendiri, orang Iban tak boleh bersendiri, Kadazan tak boleh bersendiri, Arab Inggeris tak boleh bersendiri.

“Mengapa? Kerana mereka memerlukan bermadani, bermasyarakat madani. Manusia memerlukan pakaian, memerlukan makanan. Contohnya sehelai pakaian yang dipakai manusia, orang Islam atau bukan Islam, tak kira apa bangsa, pakaian mesti dibuat daripada kain.

“Kain daripada apa? Daripada benang. Benang daripada apa? Kapas. Kapas daripada apa? Pertanian, mesti ditanam. Nak tanam kapas mesti ada cangkul. Cangkul daripada apa? Besi, besi daripada apa? Mesti dilombong.

“Tak mungkin satu bangsa yang buat kerja semua, seorang buat kerja semua. Kerana mahu sehelai kain, dia yang lombong besi, dia yang buat benang, dia yang tanam kapas, dia yang jahit baju, semua dia semua, tak mungkin,” terangnya.

Begitulah katanya, Allah SWT menjadikan negeri ada memiliki besi, punyai minyak, tanah subur pertanian, serta bermacam-macam lagi di mana memerlukan manusia itu berkumpul dan mengumpulkan bahan di satu tempat yang dinamakan bandar.

Maka terang beliau, Nabi SAW membina masjid dan pasar sebagai pusat kegiatan, pendidikan, politik, hubungan, sosial serta ekonomi masyarakat.

Oleh itu tegasnya, dunia pada realiti hari ini adalah dihuni oleh masyarakat yang majmuk dan Islam dalam hubungan antarabangsa dan kaum telahpun mendahulukan perdamaian sebagai keutamaan dalam bermasyarakat. HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace