Dana-Sel bantu pembeli Rumah Selangorku

HARAKAHDAILY | .

Terdapat projek Rumah Selangorku di mana separuh daripada mereka yang hendak membelinya telah mendapati permohonan mereka untuk pinjaman bank telah ditolak.

Di antara sebab-sebabnya adalah adalah pendapatan yang tidak mencukupi untuk mendapatkan pinjaman atau telah mempunyai komitmen-komitmen lain seperti pinjaman kereta atau hutang kad kredit.

Kerajaan negeri dengan bidang kuasanya yang terhad telah pun memperkenalkan beberapa skim untuk membantu rakyat memiliki rumah mereka sendiri.

Di antaranya adalah Dana-Sel yang berkonsepkan sewa dan milik.

Skim ini memberi peluang kepada pembeli terutamanya rumah kos rendah yang gagal mendapatkan pinjaman dari bank atau institusi kewangan.

Peruntukan Dana-Sel yang berjumlah RM10 juta pada asalnya disasarkan untuk menyelesaikan masalah pembiayaan peneroka bandar tetapi akan diluaskan untuk memberi peluang kepada bakal pembeli rumah kos rendah yang lain.

Terbaru, kerajaan negeri telah berkerjasama dengan Maybank untuk mewujudkan Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku.

Skim ini bertujuan untuk membantu golongan tanpa pendapatan tetap, tiada bukti pendapatan atau berumur lanjut untuk memohon pinjaman sekali gus membantu bakal pembeli berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.

Kerjasama di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Maybank itu melibatkan 674 pembeli dari lima projek Rumah Selangorku pada fasa pertama.

Segala usaha tidak terhenti setakat itu, kerajaan negeri kini akan mempertimbangkan satu skim baru bagi menyelesaikan masalah pembeli yang tidak mempunyai deposit 10 peratus untuk mendapat pinjaman bank.

Dengan skim ini, bakal pembeli akan mendapatkan pembiayaan bank untuk 90 peratus dari harga rumah sementara kerajaan negeri akan membiayai baki 10 peratus.

Kerajaan negeri akan mendahulukan 10 peratus dari harga rumah dan ia boleh digunakan sama ada sebagai pembayaran deposit atau untuk pengurangan kepada kos pembiayaan yang diperlukan oleh peserta dari bank atau institusi kewangan yang lain.

Namun begitu masalah pembiayaan ini perlu diselesaikan secara holistik di mana bukan sahaja kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif tetapi Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan yang lebih besar.

Bank Negara juga perlu mengkaji semula syarat-syarat kelayakan untuk memudahkan bakal pembeli mendapatkan pinjaman perumahan. Contohnya hutang kredit kad pemohon tidak diambilkira apabila permohonan dibuat.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace