TPPA: Ahli Parlimen BN mesti berbahas dengan telus

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen khususnya daripada BN sekali gus mewakili kerajaan dituntut bersikap telus dan tulus dalam membahaskan isu TPPA pada sesi parlimen akan datang nanti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perbahasan itu nanti teramat penting kerana melibatkan kedaulatan dan kesan jangka masa panjang terhadap negara dan rakyat Malaysia.

"Saya tidaklah menafikan keperluan untuk perkara ini dibawa ke Parlimen bahkan saya juga telah mendesaknya beberapa kali sebelum daripada ini.

"Saya percaya bahawa kita semua tidak mahu akibat daripada TPPA ini nanti akhirnya berlaku penjajahan ekonomi oleh para kapitalis dunia terhadap Malaysia yang menyebabkan rakyat hanya menjadi penyaksi kepada kemakmuran ekonomi negara sedangkan kek ekonomi itu sendiri diratah oleh gergasi ekonomi dunia," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila dengan tiba-tiba kesemua Menteri Perdagangan dan para perunding daripada 12 negara yang terlibat mengumumkan telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan terma-terma perjanjian tersebut.

Ini kerana, kenyataan bersama yang dibacakan oleh Michael B. Froman iaitu US Trade Representative (USTR) merangkap penasihat utama, perunding dan jurucakap kepada Barack Obama mengenai isu-isu perdangangan dan pelaburan pada lewat petang semalam adalah amat mengejutkan rakyat Malaysia seluruhnya.

Sedangkan jelas beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustafa Mohamed beberapa hari sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada apa-apa keputusan besar akan terhasil daripada rundingan yang diadakan di Atlanta selama beberapa hari itu.

Tegasnya, Walaupun MITI melalui Menterinya dalam kenyataan pada lewat malam tadi sekali lagi menegaskan bahawa penyertaan Malaysia di dalam TPP hanya akan diputuskan  setelah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen, namun ia bukanlah suatu yang mudah.

"Rundingan ini telah pun berlangsung secara sulit sejak lima tahun lalu, sidang Parlimen akan datang pula bakal menjelma tidak lama lagi dan tempohnya amat singkat untuk tujuan tersebut," jelas beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace