Geran SAR: SRIA kesal kerajaan PP tarik bantuan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) Balik Pulau Pulau Pinang melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang menarik balik bantuan geran Sekolah Agama Rakyat baru-baru ini.

Mudir Am Sekolah Rendah Islam Al-Ansor Muhammad Fauzi Yusof berkata, sekolahnya merupakan SAR yang berdaftar dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan telah beroperasi sejak tahun 2008.

Kini sekolah terbabit mempunyai murid seramai 215 orang yang majoritinya datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, berdasarkan rekod terdahulu, SRIA telah menerima bantuan tersebut daripada kerajaan negeri dan pada tahun ini pihak SRIA telah menerima surat makluman pemberian bantuan tersebut oleh pegawai JAIPP pada 3 September 2015.

Namun katanya surat makluman pemberian bantuan tersebut telah ditarik balik pada hari yang sama oleh JAIPP melalui pegawainya yang hadir ke SRIA untuk mengambil kembali surat berkenaan.

"Kejadian ini telah menggambarkan bahawa terdapat 'tangan ghaib' yang cuba menafikan hak rakyat Pulau Pinang khususnya anak-anak dan waris yang menghantar anak ke sekolah agama rakyat.

"Pihak SRIA percaya bahawa isu ini berlaku adalah disebabkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan ia merupakan satu kezaliman terhadap institusi pendidikan agama di negeri ini," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya, pihak SRIA ingin mengingatkan Kerajaan Negeri bahawa wang yang dimiliki oleh kerajaan adalah milik rakyat dan ia merupakan amanah dari rakyat.

"Sikap ini telah menampakkan kegagalan slogan cekap, akauntabiliti dan telus yang sering diwar-warkan dan rakyat sentiasa memerhati serta sedia menghukum kerajaan yang zalim," katanya.

Kerajaan negeri Pulalu Pinang melalui Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna mengesahkan bantuan SAR itu ditarik balik dengan alasan kerajaan negeri tidak pernah menyediakan bantuan tetap atau ‘geran tetap’ kepada sekolah-sekolah agama rakyat di negeri itu sebaliknya ia diberikan secara bergilir berdasarkan keperluan.

“Ini bukan geran tahunan yang wajib dapat. Ini ialah sumbangan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat yang berkaitan," jelas Exco berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace