Wawancara: PAS Perak tidak terkesan dengan PAN

IZWAN ABDUL HALIM | .

PELBAGAI cabaran yang ditempuh sedikitpun tidak memundurkan PAS Perak untuk terus mara memacu kemenangan. Segala usaha dikumpul ke arah mencapai cita-cita perjuangan Islam. Ikuti temubual Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengupas tekad yang sedang dilakar PAS Negeri itu.

HARAKAH: Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri yang juga diberi kepercayaan oleh perwakilan muktamar lalu sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan memegang Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal selain juga selaku Ketua Cawangan dan Yang DiPertua PAS Kaewasan, bagaimana Tuan mengatur dan membahagi masa?

RAZMAN ZAKARIA: Berbekalkan pengalaman sebagai penjawat awam dan pernah memegang jawatan Presiden Pegawai Kanan Kastam Malaysia, alhamdulillah tugas dapat diatur dengan baik. Biasanya bermula hari Jumaat minggu pertama Liqa Fikr Negeri saya berada di cawangan dan kawasan. Usrah Cawangan dan usrah gabungan dua Dun di kawasan.

Program kawasan ijtimak, liqa dan mesyuarat kawasan diatur pada minggu ini. Di peringkat negeri saya juga memegang Lajnah Politik dan Lajnah Perpaduan Nasional. Lajnah Politik tidak berat kerana keputusan politik negeri mengikut apa juga keputusan yang dibuat oleh Pusat. Tugas Lajnah Perpaduan Nasional pada saya amat penting dalam usaha dakwah dan siasah. Lajnah Perpaduan Nasional dianggap sebagai jambatan penghubung di antara PAS dengan berbagai kaum.

Saya melantik timbalan dan jawatankuasa yang boleh bergerak. Alhamdulillah ia berjalan dengan baik dan dalam pemantauan. Saya memperuntukkan sepuluh hari untuk program dan mesyuarat negeri. Di peringkat nasional saya selaku pengerusi lajnah ia tanggung jawab besar kerana ia adalah segmen masyarakat atau pengundi prnyokong tegar atau ‘hardcore’ Umno.

Segmen pertama adalah masyarakat penempatan berkelompok di bawah agensi pembangunan tanah seperti Felda, Felcra, Dara, Kejora, Kesedar, Risda dan sebagainya. Bagi memastikan setiap sektor ditangani dan di santuni saya telah melantik pengerusi untuk setiap sektor.

Segmen kedua adalah peneroka bandar atau bahasa yang mudah difahami penduduk yang mendirikan rumah di tanah kerajaan di pinggir bandar. Mereka ini juga penyokong tegar Umno. Ketua untuk menangani sektor ini juga telah dilantik.

Segmen yang ketiga adalah segmen orang Asal Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Alhamdulillah melalui pemantauan pengarahan melalui media moden ‘whatsapp’ dan seumpama, setakat ini kerja-kerja ini berjalan dengan baik. Pada dasarnya konsep pengurus adalah menggerakkan kerja melalui kakitangan.

Saya juga bersyukur mempunyai timbalan yang memahami cara saya bekerja dan setakat hari ini merekalah merupakan tangan kanan saya. Saya membahagikan masa 10 hari di kawasan 10 hari di negeri dan 10 hari untuk program Lajnah Pusat. Doa moga diberi kesihatan kekuatan dan kesabaran dan biarlah berakhir hayat dalam jamaah.

Menyentuh mengenai negeri, sejauh mana PAS Perak terkesan dengan tindakan ahli yang keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN)?

Alhamdulillah PAS Perak tidak terkesan dengan tindakan sebahagian ahli yang menyertai PAN. Mereka diuar-uarkan memperjuangkan Islam dan cuba mempengaruhi rakan atau ahli PAS dengan mendekati secara individu dengan mengatakan kononnya PAS ini eksklusif dan tidak relevan lagi. Ahli-ahli PAS yang mengikuti sistem tarbiah diatur PAS sekian lama tidak terkesan dan terpengaruh dengan dakyah mereka.

Mereka ini dikenal pasti terdiri daripada yang bermasalah dan telah kalah di peringkat PAS Kawasan atau Dewan dalam pemilihan lalu. Ada juga sebahagian kecil yang menang dan memegang jawatan, tetapi tidak boleh bertahan kerana ternyata fikrah mereka sudah berbeza dan mereka ini juga tidak mesra tarbiyah. Ada beberapa kawasan terlibat tetapi pelantikan semula telah dibuat mengikut peruntukan peraturan yang dibenarkan perlembagaan seperti Beruas, Batu Gajah, Gopeng dan Sungai Siput. Secara keseluruhannya PAS menjadi makin kuat.

Rentetan itu, bagaimana PAS Perak melakukan usaha pemulihan dan mengemaskini pergerakan semasa?

Pertama kita memastikan organisasi di peringkat kawasan atau cawangan yang berlaku perletakan jawatan dibentuk dan memastikan ianya berfungsi. Kita bangunkan sistem pemantauan bagi memastikan organisasi dan program di semua peringkat berjalan seperti biasa.

Mana-mana kawasan yang agak pasif, Badan Perhubungan Negeri akan mengatur program di kawasan berkenaan. Seluruh entiti PAS Perak turun ke kawasan-kawasan untuk memastikan para amilin kembali memahami matlamat dan fokus kepada pencapaian objektif jamaah.

Antaranya Dewan Ulamak telah memulakan pemulihan dengan mengadakan program membaharui baiah. Buku rukun baiah dicetak dan menjadi buku poket untuk setiap ahli. Lajnah-lajnah diperingkat negeri juga telah mula bergerak dan melantik pengerusi diperingkat kawasan dan program-program juga sudah mula berjalan.

Sejauh mana PAS Perak mampu untuk menghadapi BN dan bersedia mengambil semula tampuk pemerintahan kerajaan negeri seandainya bersendirian?

Berdasarkan PRU13 secara dasar agihan kerusi kepada tiga parti komponen PAS, KeAdilan dan DAP berasaskan komposisi kaum. Sebanyak 22 Dun PAS bertanding majoriti Melayu dan 19 Dun PKR bertanding pengundi campuran dan 18 kerusi Dun DAP majoriti Cina.

Majoriti pengundi mengikut kaum lebih kurang Melayu 50 peratus, Cina 35 peratus dan lain - lain 15 peratus. Parti teras Melayu adalah Umno dan PAS. Bagi kaum Cina mereka ada banyak parti DAP dan PKR dalam blok pembangkang selai MCA, Gerakan dan lain-lain adalah dalam blok BN. Berdasarkan PRU13, kaum Cina sudah menolak Umno-BN.

Untuk PRU14 sekiranya Melayu ada kesedaran politik dan mereka yakin bahawa kepentingan Islam-Melayu boleh dijaga oleh PAS, saya percaya mereka akan mengundi PAS. Senario politik semasa saya meyakinkan parti pemerintah Perak akan berubah. – HARAKAHDAILY 5/10/2015

Ikuti wawancara penuh dalam Harakah edisi cetak.

Share on Myspace