PAS Kelantan bantu penghuni pondok terbakar

ASLANI M | .

PASIR MAS: Adun Tendong, Rozi Muhamad antara pemimpin PAS yang awal datang membantu penghuni Madrasah ad-Diniyah al-Yusufiah ketika kebakaran sedang marak malam tadi.

Katanya, kebakaran itu memusnahkan 60 pondok yang dijadikan kediaman pelajar madrasah berkenaan.

“Kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.20 malam tadi. Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku biar pun api marak dengan cepat,” katanya di sini.

Manakala pagi tadi Dewan Pemuda PAS Pasir Mas menyampaikan sumbangan awal kepada mudir pondok berkenaan. Sumbangan itu diserah ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau turut berharap orang ramai membantu bagi membangunkan semula pondok berkenaan, yang merupakan antara yang terbesar di Kelantan sekarang.

“Insya-Allah Pemuda PAS Pasir Mas akan melancarkan projek Pondok Istiqomah bagi membantu pembinaan semula pondok yang musnah itu melalui sistem wakaf,” ujarnya.  

Pondok Al Yusufiah Gelang Mas, Pasir Mas antara institusi pondok tradisional yang terbesar di Kelantan, selain Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas dan Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalur bantuan kewangan melalui akaun Bank Islam 03102010008767 atas nama Kelab Prihatin Pasir Mas Kelantan.

Atau akaun pondok Al-Madrasah ad-Diniyah al-Yusufiah (Bank Islam: 03027010048338) – HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace