Video perkahwinan pengubat rindu isteri

BERNAMA | .

ALOR SETAR: Video perkahwinan yang dihasilkan oleh Allahyarham Zulkifly Samad, 50, yang terkorban dalam insiden rempuhan di Mina baru-baru ini menjadi pengubat rindu buat isterinya, Suriahanim Abd Hamid.

Suriahanim, 40, berkata beliau akan memainkan video klip itu setiap kali teringatkan Allahyarham suaminya yang maut dalam insiden pada 24 Sept lepas.

Eksekutif Kanan Akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu berkata video memaparkan koleksi gambar perkahwinan mereka disimpan dalam telefon bimbitnya bagi memudahkannya menonton setiap kali teringatkan suami.

"Video itu menjadi pengubat kerinduan saya terhadapnya. Itu adalah kenangan sepanjang hidup kami bersama," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) Allahyarham Zulkifly bersama-sama lebih 700 jemaah haji terkorban dalam insiden rempuhan di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab, di Mina.

Suriahanim berkata sebelum kejadian dia dan arwah suaminya sempat bermaaf-maafan sebelum bertolak ke Mina dan Zulkifly tidak meninggalkan sebarang pesanan terakhir kepadanya.

Beliau berkata akan menunggu masa yang sesuai untuk memberitahu mengenai insiden itu kepada anak lelaki tunggal mereka, Hasan Zakiy, 3, hasil perkahwinan mereka sejak tiga tahun lepas.

"Kalau nak beritahu sekarang mungkin dia (Hasan) tidak mengerti mengenai kejadian yang menimpa ayahnya. Bila dia faham baru saya akan cerita kepadanya," katanya.

Katanya anak lelakinya itu sering melihat gambar arwah ayahnya menerusi telefon bimbit ibu saudaranya sepanjang mereka berada di Makkah.

Dia berkata akan ke Tanah Suci Makkah tahun hadapan bagi mengerjakan umrah seperti yang dirancang oleh arwah suaminya sebelum ini dan akan menziarahi pusara Zulkifly. - BERNAMA

Share on Myspace