Akaun Bersih 4 RM2.6 juta, kini giliran Najib pula

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Seperti yang dijanjikan, Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini membentangkan akaun dan perbelanjaan perhimpunan aman Bersih 4.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 memaklumkan mereka berbesar hati untuk mengumumkan bahawa daripada penyata bank setebal 2,126 muka surat yang telah diterima sekitar 27,000 penderma telah menyumbang secara purata RM76 seorang.

"Majoritinya telah menderma antara RM10 ke RM50. Jumlah derma yang kami terima adalah sebanyak RM2,064,652.74," ujar jawatankuasa itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily, petang ini.

Menurutnya lagi, hasil derma melalui jualan kemeja-t Bersih 4 adalah sebanyak RM553,914 manakala hasil jualan mafla pula adalah sebanyak RM28,795 yang membawa kepada jumlah besar RM2,647,361.74.

Tambah kenyataan itu yang disertai lampiran, jumlah perbelanjaan Bersih 4 termasuk praperhimpunan dan perbelanjaan ketika perhimpunan adalah sebanyak RM664,052.52

Jumlah lebihan sebanyak RM1,983,309.22 akan digunakan untuk dana program Bersih 2.0 untuk jangka masa dua tahun akan datang termasuklah program pendidikan pengundi, kos mahkamah, latihan dan sebagainya.

"Dengan ini lunaslah sudah janji Bersih 2.0 untuk membentangkan perbelanjaan kami sepanjang penganjuran perhimpunan aman Bersih 4," ujarnya.

Kini, kata kenyataan itu tiba giliran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendedahkan akaun RM2.6 bilionnya pula.

"Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, maka jelaslah kredibiliti beliau telah hilang sama sekali," tambahnya. - HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace