Catatkan nama anda sebagai seorang bakal jayakan H60K

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL | .

Tanggal 19 Februari 2011 menjadi kenangan dan kejayaan yang sukar dilupakan apabila Himpunan 30K Pemuda PAS telah berjaya diadakan di Kota Sarang Semut, yang dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Azizan bin Abdul Razak, Menteri Besar Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Saya telah diberikan amanah sebagai Pengarah H30K ini dan ia adalah kesinambungan kepada Himpunan 15K Pemuda PAS di Kelantan pada penghujung tahun 2006 yang mana saya tidak dapat hadir ke program H15K kerana Johor dilanda banjir besar.

H30K telah menyaksikan komposer terkenal, Bob Lokman mengisytiharkan diri menyertai PAS dan buat pertama kali petikan gitar dikumandangkan di dalam Kompleks PAS Kedah oleh artis Pak Long.

Pada 17 Oktober ini, Pemuda PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS akan menggandakan peserta himpunan menjadi Himpunan 60K di Kota Bharu dan tentulah satu lagi sejarah baru bakal dicatatkan dengan penyertaan ahli dan penyokong PAS dari serata tanah air.

Ketika berucap di Kota Sarang Semut, saya telah mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta yang hadir telah mencatatkan sejarah bersama dan nama mereka telah tercatat sebagai salah seorang daripada 30 ribu Pemuda PAS yang menjayakan H30K. Saya mengingatkan bahawa belum tentu kita akan bertemu dengan himpunan besar seperti ini lagi pada masa hadapan.

Justeru kali ini, saya berazam agar nama saya dicatatkan sebagai salah seorang ahli PAS yang menjayakan H60K.

Semoga ahli PAS di seluruh negara memasang tekad untuk turut sama melakarkan sejarah gemilang ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini! - HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace