Pemuda PAS Perak bantah TPPA

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

 

IPOH: Perak yang merupakan antara negeri jelapang padi utama negara ini bakal menerima kesan buruk dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani Malaysia, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin.

Katanya, TPPA bermakna pesawah di Perak terpaksa bersaing dengan hasil beras dari Amerika Syarikat yang menerima subsidi tinggi di pasaran negara ini.

"Bahkan, pekebun buah-buahan juga bakal terjejas teruk dari perjanjian ini atas persaingan tidak seimbang selain penggunaan bahan penanaman pertanian yang meningkatkan kos.

"Sedangkan Perak telah mencapai status sebagai negeri keempat pengeluar buah-buahan tertinggi di Malaysia dengan pencapaian 98 ribu tan metrik (2004) dari keluasan 18 ribu hektar.

"Hasil yang menyumbang kepada tahap sara diri sebanyak 44 peratus kepada golongan petani di negeri ini bakal menyusut," ujarnya meluah kebimbangan.

Jelas Akmal, tidak mustahil keadaan tersebut akan menjadi punca peratus kemiskinan meningkat dari masa ke semasa.

Begitu juga katanya, kesan ke atas para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini yang bakal berdepan masalah pemasaran.

Kerana menurut beliau, perjanjian tersebut akan menyebabkan gergasi luar negara bebas untuk berniaga di negara ini.

"Kepentingan syarikat yang mengamalkan ekonomi kapitalis akan menjerut kepentingan ekonomi sara diri rakyat secara tidak langsung.

"Oleh itu kami Pemuda PAS Perak membantah sekeras-kerasnya penjanjian ini dan mendesak Kerajaan Malaysia membentangkan dengan telus isi perjanjian kepada rakyat dengan segera.

"Kami juga ingin mengingatkan bahawa kepentingan rakyat harus diutamakan berbanding kepentingan pihak-pihak tertentu," tegasnya. HARAKAHDAILY 6/10/2015.

 

 

 

 

 


 

 

 

 

Share on Myspace