NGO Generasi wadah baru perjuangan isu tanah, warisan

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

 

KUALA LUMPUR : Berpaksikan istiqamah dalam perjuangan, Generasi menjadi pemangkin baru memperjuangkan isu tanah yang bukan sahaja melibatkan tanah Felda bahkan cangkuman isu yang bakal diperjuangkan meluas yang turut melibatkan isu tanah-tanah adat, agensi kerajaan berkaitan tanah dan warisan beserta isu-isu semasa membabitkan warisan.

Menyifatkan Generasi telah membuat inspirasi yang lebih besar, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata Generasi dilahirkan daripada tokoh-tokoh berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam isu-isu tanah Felda.

"Dalam NGO Generasi ini saya lihat penggerak-pengeraknya (Exconya) adalah yang berpendidikan seperti Ustaz Roslan Md Esa anak Peneroka Felda Jengka, Naraza Muda, Wan Nordin Wan Yaakob yang merupakan anak Felda Palong Negeri Sembilan, Ustaz Mohamad Ibrahim, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Felda Jengka), dan ramai lagi aktivis-aktivis seperti ini yang aktif dalam mengerakkan NGO," kata beliau semasa dihubungi Harakah 5 Oktober lalu.

Tambah beliau lagi, pimpinan di dalam Generasi ini sudah lama "sebati" dengan perjuangan mempertahankan hak-hak tanah anak-anak Felda di mana gabungan daripada pengetahuan dan misi perjuangan yang sama akan menguatkan lagi suara hak rakyat yang tertindas untuk diperjuangkan bersama.

"Jadi dengan kompetensi yang ada ini, penggerak-pengerak Generasi ini saya rasa dan saya ada membuat satu unjuran bahawasanya mereka akan melonjak bergerak lebih jauh dan lebih baik daripada prestasi yang dibawa ANAK sendiri," jelasnya lagi ketika dihubungi Harakah pada 5 Oktober lalu.

Beliau turut membangkitkan kegagalan pengurusan Felda sendiri di mana ramai kalangan anak-anak Felda tercicir dan terlibat dengan banyak gejala sosial seperti dadah, zina, anak luar nikah, bohsia dan sebagainya.

Selain itu, menurutnya lagi pihak pengurusan Felda juga gagal menguruskan kediaman generasi kedua sebagaimana pernah dijanjikan semasa kempen pilihan raya lalu.

Pertubuhan bukan kerajaan itu bukan sahaja memberi harapan baru bahkan katanya lagi ia semestinya harus disokong sepenuhnya oleh rakyat khususnya para peneroka yang sudah lama ditindas kerana Generasi berperanan luas dalam isu berbangkit yang melibatkan tanah pemilikan dan penerokaan baik bandar mahupun kampung.

"Mereka berpotensi untuk maju ke hadapan. Latar belakang tokoh yang menggerakkan Generasi ini adalah terdiri daripada mereka yang hebat,." katanya yang juga Pengarah Penerangan NGO Muslim Care Malaysia.

Beliau mengharapkan agar pertubuhan Generasi akan melakukan gerak gempur bukan sahaja di kawasan Felda bahkan juga di kawasan kampung dan bandar yang menjadi kubu kuat Umno-BN. HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace