PAS seru rakyat tolak TPPA jika tiada konsultasi efektif

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS meminta majoriti rakyat Malaysia menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya substantif perjanjian tidak dijelaskan secara telus dan komprehensif terlebih dahulu.

"Kerajaan perlu mendedahkannya kepada ruang awam sebelum ia dibentangkan di peringkat Parlimen untuk dibahaskan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga harus memberikan jaminan untuk bersedia keluar daripada perjanjian yang diketuai oleh Amerika Syarikat itu sekiranya rakyat menolak substantif yang dikemukakan.

"Kita tidak mahu proses konsultasi di Malaysia hanya sekadar memenuhi syarat semata-mata sebaliknya prapersetujuan telah diikat dalam kalangan negara-negara anggota kelmarin," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurutnya, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global hari ini, Malaysia seharusnya memikirkan inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan dengan negara-negara kontroversi khususnya Amerika Syarikat.

Tambahnya, ikatan perjanjian yang termeterai akan menyebabkan Malaysia terdedah kepada konteks ekonomi politik yang berisiko tinggi. - HARAKAHDAILY 6/10/2015

Share on Myspace